PETALING JAYA: Skuad berbasikal trek negara mempamerkan pencapaian memberangsangkan apabila membutirkan empat pingat emas secara keseluruhan dengan atlet wanita menjadi penyumbang utama di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.
Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menjadi tumpuan apabila menyumbang dua emas bagi acara ujian masa satu kilometer (km) dan keirin selain perak bagi pecut berpasukan dan gangsa acara pecut individu sekali gus mengulangi pencapaiannya di kejohanan musim lalu.
Mengulas lanjut, jurulatih trek berbasikal negara, Harnizam Basri mengakui percaturan yang dilakukannya dalam kejohanan tersebut membuahkan hasil terutamanya bagi acara 1km ujian masa yang pertama kali diperkenalkan menggantikan ujian masa 500 meter (m).
“Secara keseluruhannya kita banyak melakukan percubaan dan apa yang kami lakukan ini menunjukkan kesan positif menjelang Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2025.
“Sedikit pertukaran yang mana acara 1km ujian masa wanita pertama kali diadakan, dengan penyediaan gear masih tercari-cari sebab tak pernah buat dan bagaimana Izzah boleh memberikan komitmen (acara 1km ujian masa),” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Seorang lagi pelumba remaja wanita negara yang semakin menyinar, Sawda Hasbullah memenangi emas acara pecut serta mencipta rekod dunia ketika menjuarai final 1km ujian masa.
Dalam pada itu, Harnizam berkata, Nurul Izzah perlu memberi tumpuan terhadap penambahan kadar jisim otot supaya kayuhannya lebih berkuasa bagi acara keirin.
“Kita perlu fokus kepada jisim otot dan selepas ini kami akan menambah kadar jisim ototnya dan lupakan sekejap latihan di trek sebaliknya beri tumpuan di gimnasium. Tahun ini sahaja kita ada masa nak buat, jadi dua bulan selepas hari raya kami akan fokus bina otot.
“Nak bina otot perlukan rehat yang cukup, tidur lapan hingga 10 jam untuk otot itu berkembang. Izzah mempunyai pecutan yang sempurna tetap ototnya kecil nak bagi mendapatkan kayuhan yang lebih berkuasa perlu menambahkan lagi jisim ototnya, itulah yang saya nampak,” katanya.
Bagi kategori lelaki, pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Shahrom memenangi satu perak bagi acara keirin dan satu gangsa acara pecut dan adiknya, Muhammad Ridwan meraih gangsa pecut berpasukan bersama Mohd Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis. – UTUSAN










