PETALING JAYA : Selepas 10 hari Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berakhir, ‘Kabinet’ baharu badan induk itu akhirnya dibentuk selepas mesyuarat pertama jawatankuasa eksekutif bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung, semalam.
Pada mesyuarat itu, Presiden FAM, Datuk Mohd. Joehari Mohd Ayub mengumumkan nama pengerusi dan timbalan pengerusi bagi setiap jawatankuasa tetap dan jawatankuasa ad-hoc.
Menerusi ‘Kabinet’ baharu itu, Mohd. Joehari mengetuai empat jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Darurat, Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan dan Jawatankuasa Infrastruktur.
Jawatankuasa Pengadil yang kerap menjadi tumpuan dan kritikan peminat bola sepak tanah air kekal dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selain beliau turut diberi tanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan.
Bagi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan, Sivasundaram akan dibantu legenda bola sepak negara yang juga bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk Dollah Salleh yang memenangi jawatan naib presiden dalam pemilihan FAM, sebelum ini.
Seorang lagi Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pula dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Pertandingan dan Jawatankuasa Hubungan dan Pembangunan Ahli Gabungan.
Mohd Yusoff juga akan dibantu seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang diberi tanggungjawab selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan.
Jawatankuasa Integriti pula dipengerusikan Tan Sri Dr Aseh Che Mat manakala Tan Sri Azam Baki selaku timbalan pengerusi.
Pada mesyuarat itu juga Joehari mengumumkan Datuk Noor Azman Rahman kekal sebagai Setiausaha Agung FAM dan Datuk Ismail Karim kekal sebagai Bendahari FAM. – UTUSAN










