LONDON: Mercedes yang masih terasa kehilangan Lewis Hamilton telah memperkenalkan kereta Formula Satu (F1) musim 2025 menjelang ujian pramusim di Bahrain, minggu ini.
Pasukan berpangkalan di Britain itu melancarkan W16 secara digital beberapa hari selepas memperkenalkannya di acara pelancaran musim F1 yang mewah di London, sebelum ini.
Majlis itu juga menandakan permulaan era baharu bagi Mercedes selepas pemergian Hamilton ke Ferrari, dengan pelumba rookie, Kimi Antonelli menggantikan tempat juara dunia tujuh kali itu sebagai rakan sepasukan kepada George Russell.
Valtteri Bottas pula menjadi pemandu simpanan walaupun sebelum ini dia berlumba untuk Mercedes dari 2017 hingga 2021.
Mercedes yang memenangi lapan gelaran pengeluar berturut-turut sejak 2014, meraih empat kemenangan pada musim 2024 iaitu masing-masing menerusi Russell dan Lewis Hamilton, sekali gus menandakan kemenangan pertama pasukan itu sejak 2022.
Namun, mereka mengalami kemerosotan prestasi apabila jentera mereka tidak konsisten menyebabkan Mercedes menamatkan musim di tempat keempat dalam kejuaraan pengeluar di belakang McLaren, Ferrari dan Red Bull.
“Musim ini akan menjadi sangat kompetitif. Kita dapat melihat betapa sengitnya saingan tahun lalu.
“Dari satu perlumbaan ke perlumbaan lain, sukar untuk meramalkan siapa akan berada di depan dan saya jangkakan tahun ini akan lebih sengit. Kami perlu berada pada tahap terbaik jika mahu mencabar kejuaraan musim ini.
“Russell membuktikan dia adalah salah seorang pemandu terbaik di grid, mampu bersaing untuk kejuaraan pemandu jika kami dapat memberikannya jentera yang berdaya saing,” kata Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff.
Sementara itu, Russell, 27, berkata, dia tidak sabar untuk turun ke litar dengan ujian pramusim berlangsung di Bahrain bermula esok hingga Jumaat.
“Saya rasa tahun lalu adalah musim terbaik saya dalam F1. Musim ini akan menjadi musim ketujuh saya dalam sukan ini dan tahun keempat bersama pasukan utama Mercedes.
“Saya bekerja keras untuk terus meningkatkan prestasi setiap tahun. Sebagai sebuah pasukan, kami sangat bermotivasi untuk memperbaiki pencapaian musim lalu,” kata pemandu Britain itu.
Perlumbaan pembuka musim akan bermula di Grand Prix (GP) Australia, Melbourne pada 16 Mac. – AGENSI/UTUSAN










