MADRID: Bekas bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo berkata, Kylian Mbappe bukan penyerang tulen dan tidak tahu bagaimana untuk bermain di posisi nombor sembilan.
Sehubungan itu, Ronaldo menggesa bekas kelabnya membantu penyerang Perancis itu meningkatkan prestasinya dengan memberikan kebebasan memilih posisi yang sesuai.
Mbappe menjaringkan 22 gol dalam semua pertandingan pada musim pertamanya di La Liga tetapi berdepan kritikan di atas persembahannya ketika awal musim.
Bekas bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu mengikut jejak idolanya, Ronaldo berpindah ke Bernabeu dan bertekad mengulangi pencapaian bintang Portugal berkenaan.
Ronaldo, penjaring terbanyak sepanjang zaman Madrid dengan 451 gol, yakin Mbappe mampu menyumbang lebih banyak gol tetapi perlu mengelak meletakkan dirinya sebagai penyerang.
“Ia rumit, kerana dia tidak tahu bermain sebagai penyerang, bukan dia tidak tahu, cuma ia bukan posisinya. Jika saya masih berada di Real, saya akan menunjukkan kepadanya bagaimana bermain sebagai nombor sembilan.
“Saya bukan seorang penyerang. Saya biasa dengan posisi itu, tetapi saya adalah pemain sayap. Orang sudah mula melupakannya. Saya pernah menjadi penyerang, tetapi bukan penyerang tipikal.
“Saya rasa Mbappe tidak perlu menjadi penyerang tipikal, dia patut mengikut caranya tersendiri,” kata Ronaldo.
Mbappe mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebagai penyerang utama Madrid, selepas enam tahun beraksi lebih bebas sepanjang kariernya di PSG.
Ronaldo yang kini beraksi untuk Al-Nassr di Arab Saudi berkata, dia mengikuti perkembangan Mbappe kerana anaknya, Mateo amat meminati pemain itu.
Mbappe sudah memenangi dua trofi di Madrid – Piala Super UEFA dan Piala Antara Benua FIFA awal musim ini. Dia terlepas trofi ketiga selepas kekalahan 5-2 kepada Barcelona dalam saingan Piala Super Sepanyol. – AGENSI/UTUSAN










