Konsisten 'kelemahan' beregu badminton negara

Konsisten ‘kelemahan’ beregu badminton negara

Herry Iman Pierngadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi optimis skuad negara yang memiliki potensi tinggi dalam arena antarabangsa mampu mencipta kejayaan lebih besar jika mampu mengekalkan konsistensi dalam permainan.

Bekas jurulatih Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) itu turut mengakui ada beberapa aspek permainan yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi teknikal dan konsistensi ketika berada di gelanggang.

Herry yang baru dilantik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, beliau masih dalam proses mengenal pasti kekuatan serta kelemahan barisan pemain sebelum menetapkan strategi jangka panjang.

“Saya masih dalam fasa awal, jadi saya belum boleh bercakap secara terperinci. Namun, selepas berbincang dengan pemain bermula minggu depan, saya akan dapat menilai dengan lebih jelas hala tuju pasukan.

“Apa yang saya lihat, Malaysia memiliki ramai pemain berbakat seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Mereka mempunyai kualiti yang baik dan saya percaya kita mampu bersaing dengan negara-negara lain.

“Saya sempat melihat aksi mereka di Indonesia Masters baru-baru ini dan ada beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki, tetapi ia bukan masalah besar. Saya akan membantu mereka dalam memperkemaskan teknik serta meningkatkan konsistensi mereka.

“Jika pemain dapat mengekalkan disiplin, kerja keras dan motivasi, saya yakin beregu lelaki negara boleh mencapai tahap lebih tinggi di peringkat dunia,” katanya.

Bagi tugas pertamanya bersama BAM, Herry akan memberi fokus kepada persiapan skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China namun beliau tidak akan bersama skuad ke kejohanan itu sebaliknya hanya terlibat dalam latihan serta strategi.

Mengulas mengenai kombinasi pemain yang bakal diturunkan Malaysia, beliau percaya gandingan Wei Chong-Kai Wun perlu diberikan lebih banyak peluang untuk meningkatkan prestasi mereka.

“Aaron-Wooi Yik sudah membuktikan kemampuan mereka dengan meraih pingat gangsa Olimpik dan kejuaraan dunia. Jadi, saya fikir Wei Chong-Kai Wun juga perlu diberikan peluang agar mereka dapat mencapai tahap yang sama,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN