PETALING JAYA: Penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dirayu mendaftar menjadi ahli kelab itu bagi membantu Sang Kenari keluar daripada masalah kewangan ditanggung selama ini.
Talian hayat itu antara salah satu usaha dilakukan pemilik Sang Kenari, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Beliau berkata, setiap usaha sedang dijalankan bagi memastikan kelab Hijau Kuning dapat keluar daripada masalah kewangan dengan mendapatkan dana menerusi penaja yang berwibawa samada dalam atau pun luar negara.
Sebelum perkara itu dapat direalisasikan, Sang Kenari perlu meyakinkan pihak penaja dengan keupayaan kelab yang memiliki jumlah penyokong besar dengan sasaran 20,000 keahlian bagi memastikan pelan tersebut dapat dilaksanakan.
“KDA FC sudah mengorak langkah mengumumkan pelancaran platform keahlian KDA FC secara ‘virtual’ bagi memberi banyak faedah dan manfaat kepada ahli yang mendaftar.
“Motivasi terbesar melalui pelancaran ini adalah tawaran mendapat penajaan yang besar dari sebuah syarikat antarabangsa sekiranya jumlah pendaftaran keahlian berjaya mencapai angka tertentu.
“Inilah masanya untuk bersama-sama memulihkan kewangan kelab dengan mendapat dana penajaan yang besar bagi membayar segala hutang tertunggak dan mengorak langkah ke musim baru,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan mereka yang mendaftar keahlian The Wing akan menikmati pelbagai manfaat antaranya kad diskaun, program dan aktiviti kelab serta perkhidmatan pembayaran yang akan ditawarkan dari masa ke masa.
“Semua penyokong bola sepak Kedah Darul Aman FC boleh mendaftar sebagai ahli ‘The Wing’ yang berharga RM10 sahaja. Sasaran lebih 20,000 keahlian The Wing dengan semangat baharu untuk musim 2025/2026,” katanya. – UTUSAN










