Kedah akan bangkit lebih kuat

Kedah akan bangkit lebih kuat

Kedah Darul Aman FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun masih bergelut dengan isu tunggakan gaji pada musim ini namun pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar melaungkan amaran bahawa Sang Kenari akan tampil lebih kuat pada Liga Super musim 2025/2026.

Katanya, beliau akan berusaha menyelesaikan segala kemelut berkaitan tunggakan gaji dan berjanji tidak akan lari meninggalkan pasukan.

Mohd Daud berharap pemain dan pegawai bersabar serta memberi kepercayaan penuh untuk pihak pengurusan menyelesaikan tunggakan selama 10 bulan itu.

“Kami bertekad dan komitmen ingin terus beraksi di musim akan datang di peringkat yang sama liga super.

“Itulah komitmen kami dan kami beritahu kepada pemain dan pegawai kena sabar sekejap, InsyaAllah kita sudah bersabar 10 bulan kurang lebih, inilah pusingan terakhir ada lima enam perlawanan sahaja.

“Kita akan habiskan perlawanan sebaik mungkin dan InsyaAllah kita akan kembali kuat semula di musim baharu,” katanya.

Ketika ini, Sang Kenari berada di tangga ke-10 Liga Super dengan mengumpul 20 mata daripada 17 aksi diharungi.

Ketika ditanya adakah KDA FC mampu melepasi syarat pelesenan Liga Malaysia (Liga M) untuk musim depan, Mohd Daud menegaskan pihaknya akan tetap berusaha memenuhi apa jua syarat pelesenan bagi memastikan pasukan kekal bertanding di Liga Super.

“Ada kriteria di peringkat MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan kita akan diberitahu apakah ‘checklist’ yang perlu kita ‘tick’ dan pertimbangkan musim akan datang.

“Kita peka akan perkara itu dan akan cari apa saja ‘peluru’ kelengkapan untuk kita sediakan ‘checklist’ sebelum dipertimbangkan untuk musim hadapan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN