Jonassen rangka latihan khusus Jun Hao, Justin 

Jonassen rangka latihan khusus Jun Hao, Justin 

LEONG Jun Hao menjadi taruhan utama acara perseorangan di Piala Thomas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Kenneth Jonassen mengakui gembira dengan persembahan yang dipamerkan  Leong Jun Hao dan Justin Hoh dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China.

Jonassen berkata, program latihan yang sesuai bakal dirangka berdasarkan penilaian terhadap kedua-dua pemain tersebut ketika bertemu Hong Kong dan Indonesia meskipun mereka gagal membantu skuad negara mara ke suku akhir kejohanan.

“Saya fikir Jun Hao menunjukkan kemampuan untuk berjuang walaupun ketika bergelut untuk mempamerkan permainan sebenar. Memang saya sangat harapkan pemain yang terus berjuang walaupun peluang tipis.

“Dia mampu untuk bangkit ketika ketinggalan 17-20 di set kedua (bertemu Indonesia) kerana percaya ada peluang. Ia bukanlah satu perlawanan yang baik tetapi dia berjaya cari jalan untuk menang,” katanya.

Skuad badminton negara sebelum ini gagal mencapai sasaran mara ke suku akhir BAMTC 2025 apabila tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas 2-3 dalam kedua-dua aksi menentang Hong Kong dan Indonesia, minggu lalu.

Dalam pada itu, Jonassen turut gembira apabila Justin berpeluang untuk beraksi menentang pemain ternama, Lee Cheuk Yiu walaupun dia gagal menyumbang mata ketika Malaysia bertemu Hong Kong.

“Saya memang mengharapkan Justin dapat bermain menentang pemain ternama kerana ia memerlukan dia faham mengenai variasi (permainan) serta perubahan taktikal selain pemilihan ketika melakukan pukulan.

“Bagi mendapatkan pemahaman lebih baik, sangat penting untuk dia bermain seperti ini dengan lebih kerap. Bagi saya, apa yang mereka dapat pada kejohanan itu boleh dijadikan asas untuk latihan nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN