Hilang tumpuan hukum Penyu

Hilang tumpuan hukum Penyu

Pemain pentahanan Terengganu FC, Muhamad Shahrul cuba mengekang pergerakan penyerang JDT, Bergson Da Silva pada aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelmarin. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Biarpun terkandas di separuh akhir Piala Malaysia, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali tetap berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang mampu menyaingi kekuatan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).

Badrul Afzan berkata, skuad Penyu tampil dengan aksi berbeza apabila berjaya mengekang skuad Harimau Selatan, namun hanya kesilapan kecil di hujung permainan menyaksikan mereka tewas 1-2 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam

“Apabila tewas 0-4 pada aksi separuh akhir pertama, kami tahu amat sukar untuk bangkit lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang lawan. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pemain yang tidak mudah menyerah kalah.

“Kita berjaya mengikat kedudukan di babak kedua tapi faktor hilang konsentrasi di babak akhir permainan menghukum kita apabila JDT menjaringkan gol kemenangan. Kita jangka mampu mencatat keputusan seri tapi tak kesampaian,” katanya.

Pada perlawanan itu, JDT membuka jaringan menerusi Heberty Fernandes pada minit ke-31 sebelum TFC bangkit menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Ismaheel Akidane pada minit ke-49.

Heberty menyelamatkan maruah JDT apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan bagi memastikan pasukan tuan rumah menang 2-1.

Badrul Afzan turut menghamburkan pujian kepada barisan benteng pertahanan yang dibarisi pemain tempatan berupaya menangkis asakan jentera import JDT yang rancak melancarkan serangan bertali arus.

“Saya mengingatkan pemain supaya jangan hilang fokus dalam permainan dan tidak melakukan kesilapan mudah, ini kerana JDT bijak menghidu peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.

Ditanya mengenai awang import, Ivan Mamut, beliau berkata, penyerang import itu masih dalam proses pemulihan dan dijangka akan menyertai pasukan pada bulan depan.

“Ketika ini, Ivan masih menjalani fisioterapi dan hanya melakukan latihan ringan, biarlah dia pulih sepenuhnya sebelum kembali menyertai kem TFC,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN