Guna duit sendiri berbaloi, julang gelaran di Dubai

Guna duit sendiri berbaloi, julang gelaran di Dubai

Muhammad Hafiz Zainuddin muncul juara Kejohanan Boling Antarabangsa Dubai ke-11, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain boling negara, Muhammad Hafiz Zainuddin mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara Kejohanan Boling Antarabangsa Dubai ke-11 selepas menamatkan lapan permainan dengan catatan 1,744 jatuhan pin.

Kejayaan itu sekali gus menandakan gelaran antarabangsa pertama Hafiz bagi tahun 2025, membuktikan keupayaan atlet negara bersaing di pentas dunia. 

Lebih manis, kejayaan ini diraih tanpa sebarang tajaan, memandangkan Hafiz bersama seorang lagi pemain Malaysia, Muhammad Syazirol Shamsudin, membiayai sendiri penyertaan mereka di kejohanan tersebut.

Syazirol juga mempamerkan aksi membanggakan apabila menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 1,722 jatuhan pin.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok dalam satu hantaran di media sosial berkata, segala perbelanjaan adalah ditanggung sendiri oleh atlet tersebut.

“Kedua-duanya bertanding dengan perbelanjaan sendiri dan hanya dua rakyat Malaysia yang menyertai kejohanan di Dubai,” katanya.

Sementara itu, tiga pemain utama negara, Rafiq Ismail, Ahmad Muaz, dan Tun Hakim kini giat menjalani persiapan sebelum berangkat ke Amerika Syarikat pada 27 Februari ini bagi menyertai Timmy Tan dalam Siri Boling Dunia (PBA World Series of Bowling) di Reno, Nevada.

Ketiga- tiga atlet tersebut akan berada di sana selama sebulan bagi menyertai kejohanan berprestij tersebut.

Pencapaian Hafiz dan Syazirol di Dubai memberi sinar baharu kepada perkembangan sukan boling tanah air, sekali gus membuktikan bahawa Malaysia terus melahirkan pemain berkualiti yang mampu bersaing dengan jaguh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN