LIVERPOOL, UNITED KINGDOM: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk berkata, jaringan penyamaan pada minit ke-98 tuan rumah sangat mengecewakan menyebabkan mereka terpaksa menerima keputusan seri 2-2 dengan Everton di Goodison Park.
Perlawanan penuh tegang itu turut menyaksikan pengadil perlawanan melayangkan empat kad merah.
James Tarkowski menyumbat go penyamaan sebelum permainan tamat untuk memberikan kegembiraan kepada peminat Toffees menentang musuh ketat mereka itu.
Pemain Everton, Abdoulaye Doucoure kemudian mengundang kemarahan apabila meraikan jaringan tersebit di hadapan penyokong Liverpool.
Doucoure kemudian dan pemain tengah Liverpool, Curtis Jones dibuang padang, malah pengurus Reds, Arne Slot dan pembantunya, Sipke Hulshoff turut dilayangkan kad merah sebelum membantah keputusan pengadil, Michael Oliver.
Keputusan seri itu bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan Liverpool di puncak liga dengan berkelebihan tujuh mata, manakala Everton berada di kedudukan 15 dan terpisah 10 mata dari zon penyingkiran.
“Keputusan ini sangat mengecewakan. Tidak mudah untuk menerimanya. Perlawanan ini sentiasa penuh dengan tekanan,” katanya. – AFP/UTUSAN










