Doucoure mulakan pergaduhan - Van Dijk

Doucoure mulakan pergaduhan  – Van Dijk

PEMAIN Everton (dari kirti) Abdoulaye Doucoure, Ashley Young dan Charly Alcaraz bergelut dengan pemain tengah Liverpool, Curtis Jones dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk mengecam tindakan pemain tengah Everton, Abdoulaye Doucoure yang mencetuskan provokasi sehingga mencetuskan kekecohan dalam Derby Merseyside yang berakhir dengan empat kad merah.

Dalam perlawanan penuh dramatik di Goodison Park itu, Everton berjaya mencuri satu mata selepas James Tarkowski menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-98. 

Bagaimanapun, suasana bertukar tegang apabila Doucoure didakwa cuba mencetuskan pergaduhan dengan meraikan jaringan secara provokatif di hadapan penyokong Liverpool.

Tindakan itu mencetuskan ketegangan sehingga Curtis Jones, ketua jurulatih The Reds, Arne Slot dan pembantunya, Sipke Hulshoff turut menerima kad merah bersama Doucoure.

Van Dijk tidak berpuas hati dengan sikap Doucoure dan menyalahkan pengadil perlawanan, Michael Oliver kerana gagal mengawal keadaan.

“Anda lihat bagaimana mereka meraikan gol, mereka berhak melakukannya. Tetapi Doucoure dengan jelas mahu memprovokasi penyokong kami. Curtis (Jones) berpendapat itu bukan tindakan yang wajar.

“Pengadil sepatutnya mengawal permainan dengan lebih baik. Tetapi hari ini, saya tidak pasti dia mampu mengendalikannya dengan baik,” kata Van Dijk.

Keadaan menjadi semakin huru-hara apabila beberapa penyokong meluru masuk ke padang pada saat-saat akhir perlawanan, mencetuskan pergaduhan antara pemain dan pegawai pasukan.

Disebabkan kad merah yang diterima, Slot tidak dibenarkan menghadiri sidang media selepas perlawanan dan kebiasaannya, pembantu jurulatih akan menggantikannya, tetapi Hulshoff juga dibuang padang. 

Oleh itu, Johnny Heitinga dijangka mengambil alih pasukan menjelang perlawanan menentang Wolves pada hujung minggu ini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN