PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tetap optimis rezeki yang lebih baik menanti di hadapan meskipun akur merangkul pingat perak dalam acara keirin lelaki elit Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025, kelmarin .
Dia yang mempamerkan kayuhan luar biasa sepanjang perlumbaan, bermula dari pusingan kelayakan hingga ke separuh akhir, mengakui sudah memberikan segala-galanya di atas trek.
“Saya kayuh dengan sepenuh tenaga dalam setiap perlumbaan dan saya sangat yakin mampu memberikan sesuatu dalam final,” katanya.
Bagaimanapun, strategi pasukan Jepun yang menguasai kedudukan hadapan menyukarkan pergerakan Shah, yang terpaksa mencari ruang terbaik untuk melakukan serangan.
“Saya nampak pelumba Jepun Kaiya Ota naik sedikit dari laluan pecut, saya ambil peluang itu dan terus pecut. Saya betul-betul sudah beri segalanya di atas trek,” katanya.
Namun, pengalaman sekali lagi mengajarnya erti ketabahan apabila terpaksa menerima kekalahan di garisan penamat dengan perbezaan yang terlalu kecil oleh pelumba dari Jepun, Shinji Nakano.
“Ini bukan kali pertama saya tewas di garisan penamat dengan beza yang sangat sedikit. Saya anggap ini ujian Allah untuk menguji kesabaran saya. Mungkin ada sesuatu yang lebih besar menanti saya nanti,” katanya dengan nada positif.
Mengulas mengenai kejadian di Paris sebelum ini yang melibatkan pelumba Jepun, Shah menyedari bahawa persaingan antara mereka bertiga sangat sengit, dan dia enggan terus dibayangi insiden lalu.
“Prestasi kami sama, masa pun lebih kurang. Saya tahu pelumba Jepun akan cuba gunakan salah seorang pelumba mereka sebagai ‘umpan’, tetapi saya pecahkan strategi mereka dengan mengambil risiko sendiri.
“Tapi di trek, kelebihan tetap ada pada mereka, sebab bahagian atas trek ada sedikit cerun ke bawah. Mereka gunakan itu untuk memintas saya di garisan penamat,” jelasnya.
Secara keseluruhan, Shah berjaya mengutip satu pingat perak dalam acara Keirin dan satu pingat gangsa dalam acara pecut dalam kejohanan ACC kali ini. – UTUSAN










