Belum masa Sawda terjun ke kancah elit

Belum masa Sawda ke kancah elit

Sawda Hasbullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba muda basikal trek negara, Sawda Hasbullah yang mencipta sensasi memecah rekod dunia baru-baru ini memerlukan lagi masa untuk menjadi lebih matang sebelum beralih ke kategori perlumbaan elit.

Pengarah Teknikal Program Berbasikal Kebangsaan, John Beasley berkata, walaupun pelumba berusia 17 tahun itu mencipta sensasi memecah rekod dunia kategori remaja dalam acara ujian masa 1 kilometer (1km TT) pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC 2025), perkembangan pelumba berpotensi itu perlu dilakukan secara berperingkat.

“Kita mahu dia kekal fokus dan berpijak di bumi nyata. Ini baru permulaan. Sejauh mana dia boleh pergi, kita belum tahu tetapi yang penting adalah memberikan sokongan dan peluang untuk dia terus berkembang dalam sukan ini,” katanya.

Beasley berkata, cabaran sebenar buat Sawda hanya akan bermula apabila dia beralih ke kategori elit yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal lebih tinggi.

“Menjadi pelumba remaja yang hebat satu perkara, tetapi bersaing di peringkat elit dunia adalah cabaran berbeza. Ramai pelumba berbakat yang cemerlang di peringkat remaja tetapi gagal menyerlah apabila memasuki kategori senior,” katanya.

Bekas pelumba muda negara, Muhammad Firdaus Mohd Zonis, menjadi contoh bagaimana bakat besar boleh terhenti akibat kecederaan. 

Dia yang pernah meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Dunia Remaja dan dua kali juara Asia peringkat junior, Firdaus suatu ketika dahulu dianggap pewaris keirin dunia menggantikan Azizulhasni Awang, namun nasib tidak menyebelahinya.

“Banyak yang kita pelajari daripada pengalaman lalu. Pencapaian Sawda ini satu petanda positif buat pembangunan berbasikal negara, tetapi kita tidak boleh terburu-buru.

“Kejayaan ini membuktikan program pembangunan kita berada di landasan tepat. Masih banyak yang perlu dilakukan, tetapi kami gembira dengan kemajuan yang dicapai,” kata Beasley. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN