BAM cari beregu baharu wanita

BAM cari beregu baharu wanita

PEARLY Tan-M. Thinaah ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, di Axiata Arena pada Januari lalu.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang menilai prestasi beregu wanita negara bagi membentuk gandingan terbaik kedua selepas Pearly Tan-M. Thinaah, sekali gus memastikan skuad negara tidak terlalu bergantung kepada satu pasangan sahaja.

Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengakui, barisan pemain sedia ada masih belum mencapai tahap terbaik untuk bersaing dengan pasangan handalan dunia, namun beliau optimis percaturan baharu bakal membuahkan hasil.

“Sebenarnya, usaha untuk mencari kombinasi terbaik sudah berjalan, tetapi proses ini memerlukan masa kerana prestasi pemain sentiasa berubah.

“Ada yang menunjukkan peningkatan, ada juga yang sebaliknya. 

“Jadi, tidak ada tempoh masa khusus untuk perkara ini, dan ia turut membuka peluang kepada pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

Beliau turut mengakui tugas mencari gandingan mantap bukan sesuatu yang mudah kerana skuad beregu wanita negara masih mempunyai jurang dengan pasangan terbaik dunia.

“Ini bukan kerja setahun, tetapi memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun untuk mencapai tahap yang kita inginkan,” katanya.

Malaysia sebelum ini menamatkan saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China, di kedudukan tercorot Kumpulan B selepas tewas 2-3 kepada Indonesia dan Hong Kong.

Kegagalan ini mencatat sejarah hitam buat skuad negara apabila tersingkir di peringkat kumpulan buat kali pertama selepas tiga edisi sebelum ini berjaya mara ke suku akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN