Amorim akui tekanan memuncak

Amorim akui tekanan memuncak

RUBEN AMORIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, mengakui tekanan semakin memuncak selepas pasukannya terus dirundung malang dengan kekalahan 0-1 kepada Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Kekalahan itu merupakan yang ke-12 daripada 25 perlawanan liga musim ini, sekali gus menjadikan United berada dalam kedudukan yang membimbangkan di tangga ke-15 liga.

Sejak mengambil alih pasukan, Amorim sudah mencatatkan lapan kekalahan dalam 14 perlawanan, menambahkan lagi kekecewaan dalam kem United.

“Kami semua sedar dengan keadaan ini. Saya juga melihat apa yang diperkatakan setiap minggu. Keadaan memang sukar, tetapi saya tetap percaya kepada pendekatan saya dalam menguruskan pasukan ini,” kata Amorim.

Lebih memburukkan keadaan, United kini berdepan krisis kecederaan yang semakin meruncing. 

Pemain muda berbakat, Amad Diallo, yang sebelum ini menjadi antara paling menyerlah musim ini, terpaksa diketepikan untuk tempoh panjang selepas mengalami kecederaan serius.

Di samping itu, Amorim juga tidak dapat menurunkan beberapa tonggak utama seperti Kobbie Mainoo dan Manuel Ugarte yang turut mengalami kecederaan. 

Keadaan semakin membimbangkan apabila barisan simpanan United hanya diisi pemain-pemain muda, dengan sebahagian besar berusia 19 tahun ke bawah.

“Ini adalah situasi yang perlu kami hadapi. Kami mempunyai ramai pemain muda dan kami perlu bekerja keras untuk membimbing mereka. 

Kami tidak menjangkakan krisis kecederaan yang begitu serius dalam tempoh seminggu. Tetapi inilah realiti bola sepak,” kata Amorim. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN