SEPANG: Petarung muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, bertekad untuk mengulangi pertarungan dengan jaguh Colombia, Johan Estupinan dalam Kejohanan ONE Championship tahun ini.
Atlet berusia 18 tahun itu masih menyimpan hasrat untuk menebus kekalahannya kepada Estupinan dalam aksi ONE Championship 170 kategori flyweight Jumaat lalu.
Johan, yang lebih dikenali sebagai Jojo, menyatakan keyakinannya untuk melakukan perhitungan sekali lagi, sama ada pada perlawanan seterusnya atau menjelang hujung tahun ini.
“Boleh, Insya-Allah. Belum pasti lagi (tentang pertemuan semula dengan Estupinan), tetapi saya bersedia untuk berlawan dengannya. Kalau perlawanan seterusnya menentang Estupinan, itu tidak jadi masalah.
“Jojo rasa lebih baik hujung tahun ini. Apa pun, memang tahun ini akan bertemu lagi. Itu memang sasaran Jojo sekarang,” kata Jojo ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Dalam aksi di Arena Impact, Bangkok, Jojo tewas kepada Estupinan menerusi keputusan juri selepas tamat tiga pusingan dalam kategori flyweight ONE 170.
Meskipun kalah menerusi keputusan sebulat suara, Jojo tidak memberi laluan mudah kepada lawannya, ketika cuba memburu kemenangan ketujuh dalam kejohanan ONE Championship.
Untuk rekod, ini adalah kekalahan kedua buat anak jati Sarawak itu, selepas kekalahan pertamanya kepada jaguh Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat, Jun tahun lalu. – UTUSAN










