KUALA LUMPUR: Kesediaan pemain badminton profesional duduk semeja dengan wakil kerajaan membuka harapan baharu buruan emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau akan mengadakan satu perbincangan khas dengan beberapa pemain badminton profesional negara dalam tempoh terdekat berkenaan program Road To Gold (RTG) sebagai persiapan ke temasya terbesar dunia itu.
Difahamkan, perjumpaan itu dirancang selepas perayaan Tahun Baru Cina dan kerajaan bersedia mendengar permintaan pemain terbabit dan bentuk sokongan yang mampu ditawarkan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meningkatkan prestasi mereka.
Hannah berkata, pemain profesional berada pada tahap yang tertinggi sekarang, terutamanya beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menjuarai Terbuka India 2025.
“Ada beberapa atlet nak berjumpa dengan saya tetapi masih belum dapat tarikh yang sesuai. Antaranya adalah (Datuk) Azizulhasni Awang, Lee Zii Jia serta Sze Fei-Izzuddin dan ia akan diuruskan selepas Tahun Baru Cina.
“Zii Jia memang tidak ada dalam RTG tetapi ini untuk LA28. Kita nak bincang kerana ramai pemain profesional menunjukkan prestasi cukup baik pada ketika ini.
“Perjumpaan itu akan membincangkan mengenai kemungkinan kolaborasi dengan RTG dan bagaimana RTG boleh beri sokongan kepada pemain-pemain profesional yang layak,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Penyerahan Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Segambut, semalam.
Dalam pada itu, Hannah mendedahkan pihak KBS akan melakukan rombakan dalam jawatankuasa RTG serta memaklumkan sudah menyusun beberapa sukan yang berlaku perubahan dari segi kedudukan ranking 10 teratas.
“Ada perubahan (jawatankuasa RTG) dan diumumkan Februari nanti selepas Tahun Baru Cina, selepas itu saya akan ada jawatankuasa baharu. Kita juga sudah menyusun sukan-sukan yang ada perubahan dalam (ranking) 10 teratas,” kata Hannah. – UTUSAN










