Kluivert perlu bawa Indonesia ke Piala Dunia

Kluivert perlu bawa Indonesia ke Piala Dunia

Patrick Kluivert dilantik sebagai jurulatih skuad Piala Dunia Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Tugas sukar menanti legenda Belanda, Patrick Kluivert apabila perlu membawa Indonesia layak ke Piala Dunia 2026.

Ketika kini, Sang Garuda menghuni tangga ketiga Kumpulan C pada pusingan ketiga kelayakan yang turut dibarisi Jepun, Australia dan Arab Saudi.

Kluivert menandatangani kontrak dua tahun sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, dengan pilihan lanjutan dua tahun.

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) akan memperkenalkan Kluivert secara rasmi pada 12 Januari di Jakarta bagi menggantikan Shin Tae Yong yang dipecat, kelmarin.

“Kluivert telah menandatangani kontrak sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Indonesia, perjanjian sudah dimuktamadkan.

“Kontrak dua tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun lagi, sesi pengenalan akan diadakan pada 12 Januari nanti di Indonesia.

“Sasarannya adalah untuk melepasi pusingan kelayakan Piala Dunia,” tulis Wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano di laman Facebooknya.

PSSI sebelum ini turut mensasarkan pengendali berpengalaman, Louis Van Gaal sebagai pengganti Tae Yong, namun Kluivert yang mempunyai pertalian dengan Suriname menjadi pilihan.

Suriname, negara di Amerika Selatan, adalah bekas jajahan Belanda dan ada di antara rakyat Surinam berketurunan Jawa dan Indonesia hasil migrasi pada abad ke-19 dan 20.

Pemilihan Kluivert juga dilihat tepat bagi mengendalikan pasukan senior skuad Garuda yang kebanyakannya dibarisi oleh pemain kacukan dari Belanda.

Kluivert antara penyerang terbaik Eropah di era 90-an dan awal 2000 dengan dia memenangi Liga Juara-Juara Eropah bersama Ajax pada tahun 1995 dan La Liga bersama Barcelona pada tahun 1999. 

Selain itu, Kluivert turut menyarung jersi AC Milan, Newcastle United, LOSC Lille, Valencia dan PSV dalam kariernya di peringkat kelab.

Di pentas antarabangsa, Kluivert mengumpul 79 kap untuk Belanda, meledak 40 gol dengan pencapaian terbaiknya bersama negara ialah mara ke separuh akhir Piala Dunia 1998 dan Euro 2000, yang menobatkannya sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol.

Selepas bersara, Kluivert memegang beberapa jawatan, termasuk penolong jurulatih Belanda dari tahun 2012 hingga 2014, pengarah bola sepak di PSG (2016-2017) dan penasihat beberapa akademi bola sepak. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN