KOTA BHARU: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disaran supaya lebih kerap turun padang ke peringkat akar umbi untuk mencari dan menggilap bakat-bakat baharu dalam badminton.
Legenda pemain perseorangan badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, Malaysia tidak pernah ketandusan bakat baharu dalam sukan berkenaan yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi sekali gus menjadi menjadi pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei.
“Kita juga perlu ingat, prestasi seseorang atlet antarabangsa itu bukan hanya diukur dari sudut kebolehan atau skil sahaja.
“Namun pada masa sama ia turut merangkumi aspek kekuatan mental, motivasi dan semangat mereka,” ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Rashid memberitahu, kesukaran mencari pemain bertaraf dunia sepatutnya dilihat sebagai satu keistimewaan sukan badminton.
Katanya, ia tidak langsung menunjukkan tahap prestij sukan berkenaan.
Bekas jaguh perseorangan negara turut mengingatkan supaya pemain sentiasa patuh kepada nasihat jurulatih.
Katanya, tindakan itu supaya mereka tidak sombong dan ‘besar kepala’ selepas menang satu-satu kejohanan. – UTUSAN










