KDA FC belum menyerah kalah, terus bersaing

KDA FC belum menyerah kalah, terus bersaing

Pemain Kedah Darul Aman FC kembali berlatih dalam Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) di Alor Setar. - SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA) FC akan terus bertanding pada musim akan datang Liga Malaysia walaupun masih berdepan kemelut kewangan yang meruncing ketika ini.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd. Daud Bakar berkata, beliau akan terus berusaha mencari dana untuk menjelaskan tunggakan kepada semua yang berjasa dan masih mampu bermain dalam keadaan serba kekurangan. 

“Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab. Bagi pihak yang telah memberi komitmen untuk membantu KDA FC, tunaikan tanggungjawab, janji dan komitmen anda.

“Anak-anak Kedah yang berhati murni dan berdarah hijau kuning pula, buatlah sesuatu untuk kelab dan pasukan anda. Mengharapkan sesuatu dan membuat sesuatu adalah dua perkara yang berbeza. 

“Kalau ingin bantu, sila hubungi kami. Kami amat alu-alukan sebarang bentuk kerjasama, dana serta sokongan yang mampu membantu KDA FC untuk terus berjuang demi maruah bola sepak negeri Kedah,” katanya di sini, semalam.

Tambah Mohd. Daud, beliau sebenarnya telah diminta dan dinasihatkan supaya membubarkan KDA FC sejak Januari 2024, namun memilih untuk ‘cuba’ meneruskan perjuangan kerana ia adalah legasi semua sebagai rakyat negeri itu. 

Katanya, beliau tidak mungkin menyerah kalah sebelum berusaha terlebih dahulu sehingga berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji musim 2023 pada awal April tahun lalu, sebelum KDA FC dibenarkan bertanding bagi musim baharu 2024/2025. 

“Saya komited dan akan menggunakan segala kemampuan serta sumber yang ada sebagai pemegang saham majoriti untuk memastikan kelab ini terus bertahan walaupun dalam serba kekurangan. 

“Kemungkinan pemegang-pemegang saham lain tidak mampu untuk menyumbang untuk kelab. Saya tiada pilihan melainkan cuba mendapatkan dana sebanyak mungkin tetapi sudah pasti ianya tidak mencukupi.

“Secara jujurnya, KDA FC hanya bergantung kepada sumbangan seorang pemilik saham yang sentiasa bekerja keras mencari sedikit rezeki untuk dikongsi secara bersama hanya bagi tujuan perbelanjaan asas selain sumbangan beberapa individu dan penjualan tiket dan barangan yang tidak seberapa,” katanya.

Mengenai penghijrahan pemain, kata Mohd. Daud, sebagai majikan mereka terpaksa melepaskan bagi masa hadapan pemain yang mendapat tawaran lebih baik.

“Hubungan kami sentiasa baik dalam dan luar padang. Mereka tahu segala usaha yang telah dibuat tapi masih tidak mencukupi. Mereka terpaksa membuat keputusan ini. Ini realiti semasa dunia pekerjaan dalam semua bidang. 

“Dalam semua krisis yang dilalui KDA FC, hero dan tulang belakang pasukan sebenarnya adalah pemain, pegawai serta staf KDA FC. Mereka tetap bermain dengan penuh dedikasi walaupun gaji sangkut, stadium kosong dan laporan media yang jarang memberi aura positif. 

“Sebahagian peminat hanya ingin datang ke stadium beramai-ramai hanya jika persembahan dan pencapaian pasukan baik dan menghasilkan kemenangan. Apa-apa pun, para pemain tetap bermain sebab ini komitmen mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN