PETALING JAYA: Sudah tiba masanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan reformasi menyeluruh dalam memastikan arena badminton negara terus kompetitif di pentas dunia.
Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, prestasi pemain-pemain utama negara pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 yang berakhir kelmarin mengecewakan apabila tiada wakil berjaya melangkah ke perlawanan akhir, sekali gus gagal memenuhi harapan peminat tempatan.
“Pemain-pemain kita tidak begitu menyerlah. Pemain ranking tinggi sepatutnya mampu ke final, tetapi apa yang berlaku tidak mencapai jangkaan.
“Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta gandingan lain sepatutnya lebih konsisten, tetapi tersingkir lebih awal. Ini jelas menunjukkan perlunya reformasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Razif turut meluahkan kebimbangan terhadap pengurusan kewangan BAM, khususnya melibatkan pembayaran gaji pemain utama yang dianggap terlalu tinggi.
“ Kalau pemain meminta gaji terlalu tinggi, BAM perlu lebih tegas dalam perkara ini,” katanya.
Beliau juga menyarankan agar dana yang diperuntukkan digunakan sebaik mungkin untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda di peringkat antarabangsa.
“Masalah kita adalah kurang pendedahan di pentas antarabangsa. Pemain muda yang berbakat perlu diberi peluang, bukan hanya mengutamakan pemain sedia ada yang tidak konsisten,” katanya.
Mengulas tentang prestasi pemain beregu lelaki, Razif melihat kekurangan semangat juang sebagai punca utama kegagalan mereka.
“BAM mempunyai kemudahan lengkap, jurulatih berpengalaman, dan sparring partner yang mencukupi. Tetapi, jika pemain tiada semangat juang atau motivasi, ia harus ditangani segera oleh pihak pengurusan.
“BAM mempunyai kuasa untuk menilai dan menghentikan penyertaan pemain yang tidak menunjukkan kesungguhan,” katanya. – UTUSAN











