KUALA LUMPUR: Malaysia kehilangan khidmat beregu lelaki, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 minggu depan selepas Haikal ditimpa kecederaan pinggul.
Ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Bin Shen berkata, melalui ujian imbasan ke atas Haikal mendapati otot pinggul pemain itu koyak sehingga memerlukan dia berehat sekurang-kurangnya dua bulan.
“Haikal sepatutnya beraksi buat kali pertama pada Terbuka Malaysia tetapi dia cedera, memang rugilah dia kena tarik diri.
“Lebih kurang tiga kejohanan juga Haikal bakal terlepas sekitar Januari dan Februari, cuma pada Februari hanya ada kejohanan berpasukan, jadi kecederaan itu juga memaksa Hon Jian kena tunggu Haikal pulih,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dekat sini, semalam.
Hon Jian-Haikal yang kini menghuni ranking No. 21 dunia telah layak secara automatik ke Terbuka Malaysia yang mana pemain perlu berada dalam kelompok 32 terbaik untuk membolehkan mereka beraksi pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu.
Penarikan diri Hon Jian-Haikal, bermakna Malaysia kini diwakili enam beregu lelaki iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azryn Ayub Azryn-Tan Wee Kiong.
Katanya, buat masa ini, apa sahaja bentuk rawatan masih belum diketahui kerana perlu menunggu jawapan daripada doktor yang bakal merawat Haikal kelak.
Mengenai sasaran, Bin Shen berkata, sebagai jurulatih, beliau sudah tentu mahu menyaksikan beregu bimbingannya mencatat keputusan terbaik pada kejohanan di laman sendiri itu.
“Tanpa Hon Jian-Haikal perjuangan akan tetap diteruskan, saya yakin Aaron-Wooi Yik, Arif-Roy King dan Wei Chong-Kai Wun juga mahu bagi yang terbaik, saya rasa semua beregu kita sasarkan untuk menang,” katanya.
Terbuka Malaysia bakal menjadi tugas terakhir buat Bin Shen selaku pengendali skuad kebangsaan selepas beliau memilih Hong Kong sebagai destinasi seterusnya. – UTUSAN










