PETALING JAYA: Kebimbangan terhadap ketandusan pemain pelapis dalam acara perseorangan lelaki kini mula diperkatakan setelah ia semakin menjadi isu berpanjangan selepas Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya.
Bekas pemain negara, Roslin Hashim meluahkan situasi ini semakin membimbangkan apabila Malaysia bergantung sepenuhnya kepada seorang pemain utama iaitu Leong Jun Hao sahaja pada Terbuka Malaysia 2025.
“Sejak zaman Lee Chong Wei, kita hanya berharap kepada beliau seorang. Kini, kita mengharapkan Lee Zii Jia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau turut menekankan keperluan untuk merombak sistem pembangunan pemain muda di negara ini yang pada pendapatnya tidak menghasilkan barisan pelapis yang mencukupi.
“Kita ada ramai pemain muda di akademi seperti mereka yang berumur 16 atau 17 tahun. Namun, persoalannya, apa yang dilakukan untuk membimbing mereka? Bakat ada, tetapi pembangunan dan peluang pendedahan mereka perlu diperbaiki,” tegasnya.
Roslin turut membandingkan pencapaian negara-negara seperti Taiwan dan India yang berjaya membawa pemain yang kurang dikenali ke tahap pertandingan tertinggi, termasuk kejohanan Terbuka Malaysia.
“Lihat negara lain seperti Taiwan dan India. Mereka sediakan pemain untuk masa depan. Nama-nama baharu ini mampu bersaing di pentas dunia. Di mana kita?
“Setiap tahun, isu ini dibangkitkan. Sampai bila kita nak tunggu? Adakah kita mahu menunggu empat atau 12 tahun lagi sebelum ada pelapis seperti Chong Wei,” soal Roslin.
Beliau berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) segera mengambil langkah drastik untuk memastikan pemain muda diberi pendedahan dan latihan yang sewajarnya supaya Malaysia tidak terus ketinggalan di arena badminton dunia.
“Kalau negara lain boleh lakukan, kenapa kita tidak? Jangan biarkan badminton Malaysia terus tenggelam,” katanya.
Malaysia kini hanya memiliki seorang wakil perseorangan dalam kejohanan Terbuka Malaysia 2025, iaitu Leong Jun Hao, manakala Lee Zii Jia pula terpaksa diketepikan akibat kecederaan. – UTUSAN











