APABILA berkunjung ke rumah rakan kaum India, anda pasti dihidangkan makanan dan minuman. Malah, jika ia merupakan kunjungan kali pertama, anda pasti didesak supaya tidak pulang tanpa membasahkan tekak.
Panduan, etika dan adab melayan tetamu diperincikan dalam beberapa teks klasik India yang masih menjadi rujukan.
Kandungannya wajar diketahui untuk membantu kita memahami betapa kaum India menghargai kunjungan tetamu, sama ada dari kalangan saudara-mara, jiran atau rakan-rakan.
Buku Thirukkural dihasilkan sekitar 2,500 tahun dahulu di Tamil Nadu, India. Kandungannya terbahagi kepada aspek aram (kebenaran), porul (kebendaan) dan inbam (nikmat cinta).
Sebagaimana dihurai dalam buku Thirukkural dan Megha Duta (2018), panduan dan keperluan melayan tetamu yang berkunjung ke rumah dijelaskan menerusi 10 kural (puisi dua baris) dalam Bab 9.
Misalnya, jika kita menikmati makanan tanpa dihidangkan kepada tetamu, maka perbuatan itu dianggap berdosa dan mengurangkan sebarang pahala yang terkumpul selama ini.
Jika kita melayan tetamu dengan baik dan menghidangkan makan minum mengikut kemampuan, maka hidup kita sentiasa diberkati serta pintu rezeki terbuka luas. Tentulah hal ini sama dalam budaya mana-mana kaum dan agama.
“Sesiapa yang mengalu-alukan tetamu dan menjamu mereka serta bersedia menerima kedatangan lebih ramai tetamu, nescaya menjadi penghuni syurga.”
Demikian terjemahan makna Kural 86 dalam teks moral Thirukkural yang terkenal di seluruh dunia dan sudah diterjemah kepada lebih 20 bahasa.
Setiap tetamu, sama ada dikenali atau tidak, disenangi atau tidak, wajib dilayan dengan ikhlas dan sepenuh hati. Tetamu perlu pulang dengan gembira dan puas hati.
Hanya selepas tetamu makan, barulah tuan rumah makan apa-apa yang berbaki. Atau sekurang-kurangnya, tuan rumah makan bersama-sama tetamu dan mereka dihidangkan menu sama.
Panduan dan etika melayan tetamu turut dihurai secara terperinci dalam Bab Tiga (Perkahwinan) teks klasik Manusmriti yang juga dikenali dengan judul Manava Dharmasastra.
Teks bahasa Sanskrit ini dipercayai ditulis individu bernama Bhigu pada abad kedua sebelum masihi berdasarkan pengajaran tokoh bernama Manu yang juga dikenali dengan nama Svayambhuva.
Ada beberapa panduan dalam Manusmriti tentang etika melayan tetamu yang wajar diketahui. Tambahan pula, ia masih menjadi asas budaya dan adat kaum India.
Misalnya, apabila tetamu berkunjung ke rumah, tuan rumah wajib mengalu-alukan kedatangannya dengan penuh mesra. Selepas dijemput duduk dan dihidangkan minuman, bolehlah diundang menikmati apa-apa makanan yang tersedia mengikut kemampuan.
Tuan rumah perlu sedia menerima tetamu pada bila-bila masa. Tetamu yang diundang atau datang tanpa diundang tetap perlu dihidangkan makan dan minum mengikut kemampuan tuan rumah.
Manu dalam ajarannya menegaskan, menjadi dosa jika tuan rumah menikmati sendiri apa-apa makanan yang tidak pula diberi kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.
Sehingga kini, kaum India tetap percaya pada ajaran Manusmriti bahawa apabila kita melayan tetamu dengan baik, maka pintu rezeki terbuka, umur dipanjangkan dan peluang masuk syurga semakin cerah.
Sekiranya panduan dan syarat diajar Manu mahu dipatuhi secara tegar dan tegas, maka tuan rumah iaitu pasangan suami isteri hanya boleh makan selepas tetamu, anak-anak, ahli keluarga dan orang gaji sudah makan.
Tentulah syarat seperti ini agak sukar dipatuhi pada masa kini. Namun begitu, agak menarik bagaimana pembantu rumah dikatakan perlu makan dahulu sebelum tuan rumah.
Dalam teks klasik itu juga dimasukkan panduan melayan tetamu istimewa yang datang berkunjung selepas tempoh setahun. Tetamu istimewa yang dimaksudkan ialah raja atau pemerintah, pendeta atau agamawan, warga emas, kawan karib, mentua dan bapa saudara sebelah ibu.
Tetamu istimewa berkenaan wajar disambut dengan memberi sedikit campuran madu. Perbuatan itu sebagai simbol tuan rumah amat gembira menerima kunjungan mereka selepas setahun tidak bertemu.
Ringkasnya, dalam budaya dan adat kaum India, tetamu dianggap sebagai orang penting. Kunjungan mereka tidak dianggap sebagai beban, sebaliknya sebagai rahmat dan peluang melakukan dharma (kebaikan).
Di pihak tetamu juga ada beberapa syarat dan kriteria. Misalnya, seseorang dianggap layak dilayan sebagai tetamu hanya jika tinggal maksimum semalaman.
TAHU ADAB
Orang ramai juga diingatkan supaya jangan terlalu kerap berkunjung ke rumah orang lain semata-mata kerana mahu dilayan mesra dan diberi makan-minum. Manu memberi amaran bahawa orang yang bersikap buruk seperti itu akan lahir semula sebagai seekor lembu di rumah yang selalu dikunjungi itu.
Petikan daripada teks Thirukkural dan Manusmriti membuktikan betapa budaya India-Hindu memberi keutamaan kepada etika menerima dan melayan tetamu.
Tentulah setiap etnik di negara ini ada amalan, panduan dan peraturan yang diturunkan dari generasi ke generasi tentang etika melayan tetamu. Malah, pelbagai kitab agama turut menyentuh aspek ini. Maka, membuktikan betapa soal menerima dan melayan tetamu bukan hal kecil yang boleh dipandang enteng.
Beberapa etika dan panduan yang dinyatakan dalam rencana ini mungkin agak sukar untuk dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya pada masa kini. Misalnya, menerima tetamu pada bila-bila masa.
Dalam situasi sekarang, akibat kesibukan di tempat kerja, jumlah masa berada di rumah amat terhad. Maka, sedikit masa yang ada itu mungkin mahu diluangkan secara berkualiti bersama anak-anak atau sekadar melepaskan lelah.
Ramai juga yang bekerja dari rumah (DBR). Jika tetamu bertandang tanpa dirancang, tuan rumah pasti mengalami dilema dan serba salah. Tentulah tidak sopan jika tetamu dibiar tanpa dilayan. Pada masa sama, masakan pula waktu kerja boleh diabai.
Maka, perlulah ada persefahaman antara kedua-dua pihak iaitu tetamu dan tuan rumah dalam soal kunjung-mengunjung.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










