Pilih hidup tenang atau gaji besar?

Pilih hidup tenang atau gaji besar?

TEKANAN hidup di bandar besar berpunca daripada kesesakan trafik, ketidakseimbangan kerja-kehidupan dan kos sara hidup tinggi beri kesan terhadap kesejahteraan mental. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebelum ini, ada golongan membayangkan Kuala Lumpur bukan lagi lubuk rezeki ekoran kos sara hidup yang tinggi dan tidak setimpal dengan gaji diraih, sekali gus membuatkan mereka pulang semula ke kampung masing-ma­sing untuk bekerja.

Selain kos hidup, kesibukan dan kesesakan di ibu negara turut menjadi antara faktor mereka memilih untuk berhijrah ke tempat lain, termasuk ke luar bandar.

Malah, ada dalam kalangan mereka yang sudah mempunyai pekerjaan dengan gaji lumayan, namun sanggup melepaskannya demi mempunyai kehidupan yang tenang tanpa tekanan tinggi.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), komposisi migrasi dalam negeri meningkat kepada 62.3 peratus pada 2022 berbanding 58.4 peratus pada 2020, sebaliknya migrasi antara negeri menurun kepada 30.3 peratus berbanding 31.2 peratus pada 2020 dan migrasi antarabangsa jatuh daripada 10.4 peratus pada 2020 kepada 7.4 peratus pada 2022.

Semua negeri mencatatkan pergerakan dari kawasan bandar ke bandar lebih tinggi pada 2022, namun Terengganu merupakan satu-satunya negeri mencatatkan migrasi dari bandar ke luar bandar lebih tinggi iaitu pada 41.1 peratus.

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad berkata, tekanan hidup di bandar besar berpunca daripada kesesakan trafik, ketidakseimbangan kerja-kehidupan dan kos sara hidup tinggi memberikan kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental penduduk.

Beliau berkata, kesesakan trafik harian bukan sahaja menyebabkan pembaziran masa dan tenaga, namun turut mencetuskan perasaan marah dan putus asa yang boleh membawa kepada peningkatan tahap stres kronik.

“Kos sara hidup tinggi memaksa individu bekerja le­bih masa sehingga mengorbankan masa rehat serta bebanan kewangan berterusan ini menyum­bang kepada masalah kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan.

“Kesannya, penduduk bandar akan kehilangan kualiti hidup dan produktiviti kerja, sekali gus memberi impak negatif kepada ekonomi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Selain itu, Fauziah berkata, walaupun ada yang terpaksa meninggalkan gaji besar, mereka selalunya melihat nilai sebenar dalam masa berkualiti bersama keluarga dan kehidupan yang kurang stres.

“Kesan positif penghijrahan ini termasuk meningkatkan ke­sejahteraan mental dan fizikal, hubungan kekeluargaan dan peluang untuk meneroka bidang pekerjaan atau perniagaan baharu,” katanya.

Sementara itu, perbincangan dalam media sosial khususnya di platform X dan Threads me­nunjukkan ramai sanggup me­ngorbankan peluang gaji tinggi dengan memilih untuk berpindah ke negeri-negeri seperti Pahang, Kedah, Perak dan Melaka demi mencari kehidupan yang lebih seimbang.

Jururawat di Hospital Taiping, Zanariah Zainal, 42, berkongsi pengalaman peribadinya selepas bertahun-tahun bertahan dengan kesesakan jalan raya sebelum memutuskan untuk berpindah ke kampung mentuanya di Perak.

Jelasnya, dia yang dahulu bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) berkata, keputusan untuk berhijrah ke luar bandar adalah langkah terbaik dilakukan demi kebaikan dirinya dan keluarga.

“Setiap hari saya hadap kesesakan lalu lintas dan waktu perjalanan pergi dan pulang kerja sahaja ambil masa dua jam. Saya mahu kehidupan lebih tenang di mana saya dapat menikmati waktu bersama keluarga tanpa tekanan.

“Walaupun gaji ditawarkan di bandar lebih tinggi, tetapi kea­daan kehidupan yang semakin sesak dan kos sara hidup tinggi memaksa saya mencari alternatif untuk hidup lebih sederhana di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Yasmin Mhd. Bani berkata, peningkatan penduduk di kawasan luar bandar sudah pasti meningkatkan permintaan barang dan perkhidmatan asas seperti makanan, pakaian, perumahan, pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata, ia dapat memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang dan mencipta peluang pekerjaan serta meme­nuhi permintaan tempatan yang mendorong lebih banyak perniagaan dan industri kecil diwujudkan.

Menurutnya, kawasan luar bandar yang lebih sibuk dan berkembang mungkin mengalami peningkatan aktiviti ekonomi serta meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan.

“Ini dapat meningkatkan taraf hidup sesetengah penduduk jika mereka berjaya mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Namun, peningkatan penduduk secara mendadak tanpa peningkatan infrastruktur yang mencukupi boleh menyebabkan kekurangan sumber dan perkhidmatan asas.

“Sebagai contoh, kekura­ngan pengangkutan awam dan kemudahan kesihatan boleh menjadi isu yang menjejaskan kualiti hidup dan menyebabkan tekanan terhadap sumber daya tempatan,” katanya.

Nor Yasmin berkata, perpindahan penduduk dari bandar ke luar bandar boleh memberi cabaran besar terhadap sektor perkhidmatan dan perniagaan di bandar termasuk penurunan permintaan, kekurangan tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Jelasnya, sektor ekonomi paling terkesan apabila penduduk berpindah keluar dari ibu kota adalah sektor perumahan, pembinaan, perniagaan, perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur serta pertanian.

“Ia boleh membantu me­ngurangkan kesesakan di bandar besar yang sering menghadapi tekanan terhadap perkhidmatan awam seperti pengangkutan, kesihatan dan perumahan.

“Malah, dengan pengura­ngan tekanan itu, kerajaan dapat menumpu lebih banyak sumber bagi pembangunan yang lebih seimbang dan mampan antara bandar dan luar bandar,” jelas­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×