PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto meluahkan keyakinannya Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mampu merebut peluang ke separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF, Rabu ini.
Beregu No. 8 dunia itu mendapat laluan mudah selepas diundi dalam Kumpulan B menentang rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Lai selaku pilihan kedua, serta Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia dan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun.
Nova berkata, Tang Jie-Ee Wei boleh menarik nafas lega selepas terlepas untuk berentap bersama dua gandingan terbaik dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dan juara Olimpik, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong apabila diletakkan dalam Kumpulan A sekali gus meningkatkan peluang mereka di Hangzhou.
“Kumpulan B kelihatan mudah dan terbuka. Rekod pertemuan mereka dengan beregu Indonesia itu agak baik. Saya rasa mereka mudah untuk mara ke separuh akhir.
“Mereka harus lega kerana tidak dijadualkan untuk bertemu dengan pasangan China pada peringkat awal,” kata Nova.
Mengulas lanjut, Nova meluahkan rasa kecewa serta merasakan keraguan selepas melihat kedua-dua pasangan Malaysia diundi dalam kumpulan yang sama pada kejohanan terakhir musim ini.
Bagaimanapun, beliau melihat peluang untuk kedua-kedua beregu itu cerah untuk mara ke separuh akhir.
“Ia bukan situasi yang bagus tetapi mungkin ada satu peluang yang terbuka di antara mereka. Kedua-dua beregu mempunyai peluang yang cerah untuk mara ke separuh akhir. Saya harap mereka dapat memanfaatkan peluang itu sebaik yang mungkin,” katanya.
Mengikut format pertandingan, hanya dua pasangan teratas dalam peringkat kumpulan akan menempah tiket ke separuh akhir pada kejohanan yang akan berlangsung pada 11 hingga 15 Disember ini. – UTUSAN









