PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak percaya Pearly Tan-M. Thinaah mampu ‘terselamat’ daripada kumpulan maut untuk menempah tiket ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China.
Beregu No. 6 dunia itu mengharungi laluan berliku apabila diundi dalam Kumpulan A bersama pasangan No. 1 dunia yang juga gandingan tuan rumah, Liu Sheng Shu-Tan Ning, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun serta wakil India, Treesa Jolly-Gayathri Gopichand.
Aksi pembukaan pada esok menyaksikan Pearly-Thinaah dijadualkan menentang Matsuyama-Shida berbekalkan rekod tewas dalam lapan pertemuan terakhir berturut-turut.
Bagaimanapun, Rosman enggan berpandukan rekod pertemuan itu, sebaliknya melihat satu sudut positif yang mana anak buahnya itu mampu menamatkan saingan dalam kelompok dua terbaik peringkat kumpulan A.
“Seperti yang diramalkan, apabila semua pasangan terbaik berkumpul, undian sebegini memang akan dijangka. Memang kita tengok itu (undian) bukan sesuatu yang mudah, namun kita cuba berusaha untuk capai dua teratas untuk mara ke separuh akhir.
“Kita lihat dari sudut positif dan melihat jauh untuk berjuang setiap perlawanan. Saya yakin mereka mampu mencapai sasaran ke separuh akhir,” kata Rosman.
Sekiranya Pearly-Thinaah mampu mengatasi pasangan Jepun terbabit esok, mereka dijangka berpeluang ke separuh akhir yang kelihatan lebih cerah selepas pilihan keempat itu dijadualkan berentap dengan beregu India pada Khamis.
Jelajah Dunia Akhir yang merupakan kejohanan penutup musim 2024 menawarkan hadiah wang tunai lumayan sebanyak AS$210,000 (RM928,000) kepada beregu yang memenangi pertandingan tersebut. – UTUSAN










