PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri bertekad untuk meningkatkan prestasi dan memberi saingan hebat kepada pelumba-pelumba dari Eropah dalam kejohanan besar tahun depan.
Selepas mencatat pengalaman berharga di Sukan Olimpik, Nurul Izzah berkata, dia kini lebih berani untuk menghadapi cabaran, termasuk bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik dunia.
“Pengalaman di Olimpik mematangkan saya, terutamanya dari segi teknik dan mental. Saya belajar untuk lebih berani, terutama apabila bertemu dengan pelumba ranking 10 terbaik dunia.
“Saya juga mendapat sokongan pengurusan dan staf yang sangat positif, menjadikan saya lebih bermotivasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau juga turut mensasarkan pada tahun 2025 untuk menyertai kejohanan besar termasuk Kejohanan Berbasikal Asia 2024.
Selain itu, beliau turut memfokuskan persiapan untuk bersaing di peringkat antarabangsa demi mendapatkan lesen yang lebih baik.
“Sasaran saya adalah untuk memberi saingan sengit kepada pelumba Eropah. Saya mahu meningkatkan keyakinan diri dan menambah pengalaman melalui perlumbaan demi perlumbaan.
“Saya akan beri 100 peratus dan belajar daripada setiap perlumbaan. Ini peluang saya untuk menunjukkan kemampuan,” ujarnya.
Dalam pada itu,pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley berkata, skuad berbasikal trek juga telah menetapkan dua kejohanan utama sebagai medan persediaan bagi pelumba-pelumba negara.
“Kami mahu memastikan Izzah dan Shah berada dalam keadaan terbaik, bukan sahaja untuk kejohanan tahun ini, tetapi juga untuk pencapaian jangka panjang mereka.
“Izzah tidak akan mengambil bahagian dalam mana-mana acara pada Sukan SEA tahun depan. Oleh itu, tempoh setahun ini akan digunakan sepenuhnya untuk membina jisim otot dan mempersiapkannya bagi Sukan Asia 2026.
“Izzah merupakan pelumba pecut terkecil di dunia, jadi kami perlu memastikan penyertaannya dalam kejohanan dirancang dengan teliti dan tersusun,” katanya.
Kejohanan Berbasikal Asia 2024 akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, dari 21 hingga 27 Februari depan, manakala Piala Negara-Negara UCI 2024 akan diadakan di Konya, Turki, dari 14 hingga 16 Mac. – UTUSAN










