PETALING JAYA: Pasukan hoki kebangsaan wanita mengatur strategi baharu untuk mengutip mata pertama menjelang pertembungan menentang Korea Selatan pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024, hari ini.
Ketua jurulatih kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, Malaysian Tigress menggunakan hari rehat mereka semalam dengan membuat analisis dan perancangan baharu untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir ACT 2024.
“Hari ini (semalam) kami ada satu hari rehat dan mahu menggunakan masa yang terbaik selepas dua perlawanan berturut-turut menentang pasukan gergasi dunia. Jadi kami akan menggunakan masa itu untuk pemulihan dan persiapan perlawanan seterusnya.
“Barisan kejurulatihan akan membuat analisis untuk pemain bagi memastikan kita akan dapat meningkatkan permainan pada perlawanan menentang Korea Selatan serta yang akan datang,” kata Nasihin.
Kelmarin, Malaysian Tigress terpaksa akur dengan kekuatan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris, China selepas mudah membenam pasukan negara 5-0 di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar di Rajgir Bihar, India.
Isnin lalu, skuad negara membuka tirai ACT 2024 dengan hambar selepas tumpas kepada wakil tuan rumah, India sekali gus menyukarkan Malaysian Tigress untuk mencari mata pertama di kejohanan terbabit.
Malaysia kini berada di tangga tercorot selepas dua kekalahan dan menyaksikan China menghuni kejuaraan dengan enam mata selepas menumpaskan Thailand 15-0 pada aksi pembukaan.
Mengikut format kejohanan, hanya empat pasukan teratas dari enam negara akan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir manakala baki akan ke penentuan tempat kelima dan keenam.
Malaysian Tigress seterusnya akan menentang Korea Selatan pada pukul 2.45 petang hari ini diikuti Jepun pada Sabtu dan Thailand pada Ahad. – UTUSAN










