Hoki wanita buka kempen lawan India

Hoki wanita buka kempen lawan India

Skuad hoki wanita dan lelaki kebangsaan pada majlis pelancaran jersi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki wanita negara, Nasihin Nubli mengakui pasukannya bakal berdepan tugas berat dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) yang bakal diadakan di Rajgir, India pada 11 hingga 20 November ini.

Skuad hoki wanita negara akan memulakan kempen menentang juara bertahan, India pada aksi pertama kejohanan dan Nasihin berkata anak-anak buahnya bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Jurulatih berusia 49 tahun itu berkata, dia mengambil pendekatan menerapkan corak latihan beraksi di bawah tekanan supaya pemainnya mempunyai mentaliti untuk berjuang hingga ke saat akhir permainan.

“Kita memberi fokus kepada kekuatan mental pemain dan saya cuba bagi latihan yang fokus kepada tekanan tinggi dalam perlawanan supaya mereka boleh beri yang terbaik dan  untuk mereka menyesuaikan diri dengan keadaan itu. 

“Kita nak pemain tunjukkan walaupun apa jadi di dalam perlawanan, mereka akan berikan yang terbaik sampai habis. Kita selalu kena gol di awal dan akhir permainan dan sebab itu saya nak ubah perkara itu juga.

“Sasaran kami adalah kami ambil perlawanan satu demi satu dan kami akan cuba dapatkan keputusan yang bagus. Kita cuba dapatkan lima pasukan teratas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran jersi skuad hoki wanita kebangsaan serta hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara di Bukit Jalil, semalam. 

Selepas India, Malaysia akan bertemu China pada 12 November kemudian Korea Selatan (14 November), Jepun (16 November) dan Thailand (17 November). 

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerima penajaan set pakaian lengkap daripada jenama sukan terkenal, Mizuno selama dua tahun yang bernilai RM300,000 setahun.

“Kita menerima tajaan pakaian lengkap untuk pasukan senior dan remaja wanita serta hoki dalam dewan lelaki dan wanita. Diharapkan dengan penajaan ini dapat menyuntik semangat kepada pemain untuk beraksi dengan lebih baik,” kata Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN