Gred D: Metodologi penilaian Bersih perlu disemak semula

Gred D: Metodologi penilaian Bersih perlu disemak semula

UMNO dilihat lebih baik berada dalam kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
DALAM laporan terkini dikeluarkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang menilai prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua tahun memegang tampuk pemerintahan, berdasarkan tiga bidang reformasi utama, iaitu reformasi pilihan raya, reformasi institusi dan hak kebebasan sivil.
Metodologi yang digunakan dalam membuat penilaian ini ialah dengan membahagikannya kepada dua bahagian.
Pertama, Akauntabiliti manifesto: Mengukur Kerajaan Perpaduan berdasarkan janji mereka (70 peratus)”. Kriteria ini menilai kemajuan Kerajaan Perpaduan dalam memenuhi janji-janji spesifik digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta agenda reformasi yang lebih luas. Ia telah lama diperjuangkan oleh parti-parti politik memerintah hari ini.
Kedua, Penanda aras sejarah dan perbandingan: Bagaimana Anwar berbanding dengan pemimpin sebelumnya (30 peratus). Dimensi ini membandingkan kemajuan pentadbiran Anwar dengan pencapaian pentadbiran sebelumnya dalam tempoh dua tahun pertama mereka memegang jawatan.
Skor yang diberikan oleh Bersih ialah D (45.8 peratus). Skor untuk akauntabiliti manifesto ialah 27/68 x 70 peratus = 27.8 peratus. Skor untuk penanda aras sejarah dan perbandingan pula ialah 3/5 x 30 peratus = 18 peratus.
Saya berpendapat metodologi digunakan oleh Bersih dalam membuat penilaiannya tersasar jauh. Kerajaan Perpaduan tidak boleh dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan sebelumnya kerana Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kerajaan unik, tidak pernah terbentuk sebelum ini. Ia adalah gabungan daripada beberapa buah pakatan politik yang diwujudkan atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan kestabilan negara selepas PRU15 menyaksikan keputusan Parlimen tergantung.
Oleh itu, Kerajaan Perpaduan tidak terikat dengan janji manifesto mana-mana gabungan politik, tetapi terikat dengan Perjanjian Persefahaman Pembentukan Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani oleh  Anwar selaku Pengerusi PH dan pemimpin parti-parti utama lain pada 16 Disember 2022.
Perjanjian ini menggariskan 18 matlamat Kerajaan Perpaduan. Antaranya ialah:
-Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu.
-Mempertahankan sistem raja berperlembagaan, memperkukuh demokrasi berparlimen dan mendukung hak serta kuasa rakyat.
-Memelihara Islam sebagai agama Persekutuan.
-Mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
-Menegakkan keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman serta institusi-institusi awam.
-Memperkuatkan serta mengupayakan pemisahan kuasa di antara cabang-cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman Kerajaan Persekutuan.
-Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dalam acuan Malaysia.
-Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negeri-negeri dengan kekuasaan kerajaan Pusat.
-Menjunjung semangat kerjasama, kesetiaan kepada Persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil di antara semenanjung, Sarawak serta Sabah.
-Mengamalkan ekonomi adil dan dinamik berteraskan prinsip-prinsip pembangunan lestari, dengan mengutamakan pertumbuhan serta pengagihan yang adil serta bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan, demi membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
-Memastikan pembelaan ekonomi yang adil berasaskan keperluan kepada setiap rakyat miskin dan terbiar tanpa mengira latar belakang, kaum mahupun wilayah.
-Menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam yang bermutu sebagai tanggungjawab sosial pemerintah.
-Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upah yang adil dan setara dengan kelayakan serta pengalaman pekerja.
Oleh itu, penilaian seharusnya dibuat ke atas pencapaian matlamat kolektif yang digariskan dalam Perjanjian Kerajaan Perpaduan atau setidak-tidaknya ke atas pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap kementerian seperti lazimnya dan apabila penilaian ini dibuat maka akan didapati  prestasi Kerajaan Perpaduan adalah jauh lebih baik.
Antara pencapaian yang signifikan ialah pengukuhan sistem demokrasi berparlimen, reformasi dalam bidang ekonomi, perkhidmatan awam, pendidikan, kesihatan, perumahan serta pengukuhan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Malah beberapa pindaan perlembagaan atau undang-undang berimpak besar juga telah dan sedang dirancang untuk lebih menjaga kepentingan rakyat.
LEBIH ADIL
Untuk mendapatkan gambaran lebih adil dan menyeluruh mengenai prestasi Kerajaan Perpaduan, pendekatan penilaian Bersih perlu disemak semula. Pertama, Bersih perlu menggunakan indikator  sesuai dengan perjanjian Kerajaan Perpaduan. Penilaian perlu mengukur pencapaian berdasarkan matlamat kolektif yang digariskan dalam Perjanjian Persefahaman, bukannya manifesto individu parti.
Kedua, setiap kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan mempunyai KPI yang boleh dijadikan asas untuk menilai keberkesanan dasar dan program.
Ketiga, Bersih juga perlu mempertimbangkan konteks cabaran politik, yang mana penilaian harus mengambil kira realiti gabungan politik yang kompleks serta langkah-langkah  diambil untuk mencapai kestabilan jangka panjang.
Kerajaan Perpaduan mungkin tidak sempurna, tetapi memberi gred D adalah tidak adil memandangkan konteks unik gabungan politik ini dan pencapaian signifikan yang telah direkodkan dalam tempoh dua tahun pertama pentadbirannya.
Kerajaan Perpaduan, walaupun menghadapi cabaran politik yang rumit, telah menunjukkan komitmen terhadap agenda reformasi, pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial.
Metodologi penilaian yang lebih inklusif serta mengambil kira konteks politik adalah penting untuk memastikan penilaian lebih adil dan tepat terhadap pentadbiran ini.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Rusdi Omar ialah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN