PETALING JAYA: Disiplin tinggi yang dipamerkan pemain Selangor FC, khususnya pemain muda berjaya menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad kendalian Nidzam Jamil di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas membenam Jeonbuk Hyundai Motors 2-1.
Kemenangan 2-1 yang diraihkan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak datang dengan mudah kerana Selangor FC kehilangan khidmat Noor Al Rawabdeh, Safuwan Baharudin, Alvi Fortes dan Mukhairi Ajmal.
Ketiadaan pemain utama itu menyaksikan Nidzam menurunkan lima pemain berusia bawah 23 tahun (B-23) termasuk seorang pemain import dalam kesebelasan utama bagi mengimbangi lawan yang berada di tangga ke-27 Asia itu.
Kepercayaan yang diberikan ternyata dibalas dengan sempurna oleh pemain terutamanya Harith Haikal Adam Afkar yang berjaya mengetua pasukan dengan sempurna selain turut menyumbangkan gol pertama pasukan.
“Turning point dalam perlawanan ini adalah pemain-pemain yang masuk pada babak kedua kerana berjaya kekalkan keputusan selain dapatkan peluang untuk cari gol lagi dan ini buatkan saya gembira dengan prestasi mereka.
“Pemain-pemain muda dapat banyak belajar dari perlawanan ini dengan ramai antara mereka di bawah 23 tahun dan kita cuba dapatkan keputusan sambil bangunkan bakat mereka kerana mereka adalah masa depan buat Selangor,” katanya.
Selangor kini mengalihkan fokus kepada satu lagi aksi mencabar dalam saingan Liga Super apabila bakal melayan kunjungan skuad Harimau Selatan di Stadium MBPJ pada Ahad ini yang pastinya menjadi aksi ditunggu-tunggu peminat Merah Kuning.
Aksi ini juga boleh dianggap sebagai misi balas dendam buat anak-anak buah Nidzam selepas Selangor dibelasah 6-1 oleh JDT di pentas final Piala FA 2024 pada Ogos lalu. – UTUSAN










