PETALING JAYA: Skuad hoki remaja kebangsaan akan mendapat ujian lebih awal apabila berdepan tiga negara termasuk Great Britain sebelum Piala Sultan Johor 2024 membuka tirai.
Dua lagi negara yang akan menguji skuad negara dalam aksi persahabatan itu ialah New Zealand dan India selaku persediaan akhir sebelum kejohanan bermula 19 Oktober ini.
Ketua jurulatih Young Tigers, I. Vikneswaran berkata, pasukan New Zealand, Great Britain dan India menjadi pilihan dalam perlawanan persahabatan bermula Isnin ini.
“Saya anggap itu perkara yang positif (perlawanan persahabatan). Hal ini kerana kami memerlukan lebih banyak perlawanan untuk persiapan kami.
“Perlawanan pemanas badan bukan itu menang atau bermain bersungguh-sungguh. Ianya adalah perlawanan untuk kita lihat apa kekurangan yang boleh kita tambah menjelang kejohanan sebenar nanti,” kata Vikneswaran.
New Zealand, Great Britain dan India merupakan pasukan yang akan bertanding dalam SJOC 2024 selain Australia.
Sementara itu, Vikneswaran gembira dengan pendedahan yang diberikan oleh penolong jurulatih baharu skuad kebangsaan, Sohail Abbas yang mencurahkan ilmunya terhadap teknik ‘dragflick’ dan pukulan penalti sudut.
Meskipun hanya tiga sesi latihan bersama Sohail, jurulatih berusia 51 tahun itu masih menghargai input yang diberikan biarpun Young Tigers sudah memasuki fasa kejohanan.
“Penglibatan beliau (Sohail) sangat penting dari segi dragflick dan membantu para pemain. Namun sedikit kecewa penglibatan beliau pada saat akhir dan tidak dapat membantu dalam fasa pembangunan. Walaupun ada kekangan tetapi input beliau sangat penting.
“Setiap peluang (pukulan penalti sudut) harus dimanfaatkan oleh pemain dan tiada alasan. Kita harus memanfaatkannya untuk menjaringkan gol,” ujarnya.
Young Tigers akan memulakan cabaran SJOC 2024 menentang New Zealand pada 19 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. – UTUSAN










