PETALING JAYA: Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menyifatkan perlawanan menentang New Zealand di di Stadium North Harbour, esok adalah ujian sebenar untuk Pau Marti Vicente dan pasukan Harimau Malaya.
Keputusan 1-1 ketika perlawanan persahabatan menentang kelab Auckland FC tidak boleh dijadikan kayu pengukur kerana ia menjadi medan untuk Pau Marti memberi peluang kepada pemain-pemain memanaskan badan sebelum melalui aksi sebenar.
“Mungkin perlawanan menentang Auckland, Pau Marti mencuba barisan kemungkinan yang bakal diturunkan menentang New Zealand Isnin ini.
“Ia juga boleh dianggap sebagai pemanas badan untuk pasukan negara sebelum aksi sebenar yang menawarkan mata ranking,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ketika ditanya mengenai peluang Harimau Malaya untuk melakukan kejutan ke atas pasukan di ranking ke-95, Sulaiman berharap skuad kebangsaan mampu memberi saingan sengit dan memperagakan persembahan bermutu tinggi walaupun berada di kedudukan 132 dunia.
Jelasnya, keputusan perlawanan bergantung kepada barisan pemain yang bakal diturunkan serta taktikal yang dicatur oleh Pau Marti.
“Pada saya keputusan perlawanan bergantung kepada barisan pemain yang bakal diturunkan serta taktikal diterapkan.
“Sememangnya mata ranking penting tetapi mutu perlawanan berkualiti perlu menjadi keutamaan, jika menang ia bonus tetapi saya harap kita mampu beri saingan sengit kepada pasukan yang berada di ranking lebih baik daripada kita,” ujarnya.
Berdasarkan rekod, kali terakhir Malaysia berdepan New Zealand ialah pada 2006 di bawah ketua jurulatih Norizan Bakar.
Ketika itu, skuad Harimau Malaya tewas 1-0 di Christchurch pada 19 Februari dan 2-1 di Auckland empat hari kemudian dalam perlawanan persahabatan.
New Zealand turut berada dalam tahap terbaik ketika ini apabila menewaskan Tahiti 3-0 dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 bagi Zon Oceania. – UTUSAN










