PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menganggap ‘ketumpulan’ aspek fizikal menyumbang kekalahan kepada beregu ‘kerdil’ Thailand dalam aksi pusingan pertama Terbuka Denmark 2024, kelmarin.
Biarpun masih dibuai dengan kemanisan merangkul gelaran Terbuka Arctic 2024, Ahad lalu, Izzuddin mengakui itu bukan alasan tewas, sebaliknya mahu meningkatkan mental dan fizikal mereka.
“Kami enggan memberi alasan terhadap kekalahan kami hari ini (kelmarin).
“Kami sudah mencuba yang terbaik, namun mereka bermain lebih baik daripada kami. Justeru, kami perlu memperbaiki terutamanya dari aspek mental dan fizikal,” kata Izzuddin kepada BWF (Persekutuan Badminton Dunia).
Pada aksi di Arena Jyske Bank, Sze Fei-Nur Izzuddin turun selaku pilihan ketujuh dikejutkan dengan beregu ‘scratch pair’ berkenaan yang menghuni tangga ke-202 dunia, 21-13, 21-13.
Sementara itu, Sze Fei berkata kekalahan mereka kelmarin menunjukkan mereka kehilangan fokus dalam gelanggang ketika permainan berlangsung.
Menurutnya, pasangan Thailand terbabit mengambil peluang ke atas ‘kehilangan’ fokus terhadap Sze Fei-Nur Izzuddin untuk menunjukkan jalan keluar mereka di kejohanan terbabit.
“Saya rasa pihak lawan (beregu Thailand) bermain sangat bagus daripada kami.
“Kami rasa perlu memperbaiki fokus kami ketika berada dalam gelanggang,” kata Sze Fei.
Pasangan No. 8 dunia itu dijangka akan berehat selama sebulan untuk menghadapi Masters Jepun 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 12 November ini. – UTUSAN










