ALOR SETAR: Peluang untuk kembali menabur bakti bersama negeri kelahiran mahu digunakan sebaiknya penjaga gawang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Wan Mohd. Syazmin Wan Rozaimi bagi mendapatkan minit permainan supaya meningkatkan kemampuan diri.
Wan Mohd. Syazmin yang pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir skuad Piala Belia 2017 itu berkata, dia mahu bersaing secara sihat dengan Ifwat Akmal Chek Kassim yang kini dilihat sebagai calon utama untuk mengawal gawang Sang Kenari.
“Saya gembira dapat kembali beraksi bersama Kedah. Saya melihatnya dari sudut positif serta memasang impian untuk merebut peluang beraksi bagi mendapatkan minit permainan yang amat diidamkan.
“Saingan untuk mendapatkan minit permainan di KDA FC sebelum ini agak sengit kerana ada tiga lagi penjaga gol yang memiliki reputasi hebat seperti Kalamullah Al-Hafiz, Fikri Che Soh dan Ifwat. Tetapi kini hanya tinggal saya dan Ifwat saja dan saya perlu merebut peluang ini,” katanya.
Wan Mohd. Syazmin sebelum ini dipinjamkan ke Sri Pahang FC sebelum pihak pengurusan KDA FC mengambil keputusan untuk memanggilnya semula pada jendela perpindahan kedua baru-baru ini, setelah Kalamullah berhijrah ke Selangor FC sementara Fikri kembali ke Kelantan Darul Naim (KDN FC).
Ditanya isu tunggakan gaji yang melanda KDA FC ketika ini, Wan Mohd. Syazmin berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu dan berharap dapat terus fokus bagi memastikan tahap permainannya dapat ditingkatkan.
“Kalau fokus itu teralih ke tempat lain seperti terlalu memikirkan masalah gaji misalnya, sebagai pemain saya mungkin tidak dapat memberikan 100 peratus sama ada dalam latihan mahu pun perlawanan,” katanya. – UTUSAN










