LONDON: Pemain tengah Juventus, Paul Pogba menafikan dia seorang penipu walaupun bertanggungjawab terhadap kegagalan ujian doping yang melarangnya daripada beraksi.
Penggantungan selama empat tahun dikurangkan kepada 18 bulan awal bulan ini selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menerima alasan pengambilan terhadap bahan larangan tersebut secara tidak sengaja.
Pemain berusia 31 tahun itu digantung oleh Agensi Anti-Doping Kebangsaan Itali (NADO Italia) pada September 2023 susulan positif DHEA, bahan larangan yang mampu meningkatkan tahap testosteron.
“Ini bukan diri saya, saya bukan seorang penipu. Saya seorang yang mencintai sukan saya, saya cintakan permainan ini dan saya tidak akan pernah, tidak sesekali menipu. Saya suka menang dengan cara yang adil,” katanya.
Larangan yang dikurangkan itu bermula dari 11 September 2023, dengan sumber terdekat memberitahu Pogba boleh memulakan latihan pada Januari depan dan akan layak untuk bermain semula mulai Mac 2025.
“Saya bertanggungjawab kerana saya mengambil suplemen itu. Saya tidak memeriksa dengan teliti, katakanlah begitu, walaupun ia datang daripada seorang profesional.
“Jika saya perlu dihukum, saya terima, tetapi ia tidak sepatutnya selama empat tahun,” katanya.
Pogba kembali menyertai Juventus pada Julai 2022 selepas kontraknya di Manchester United tamat.
Dia hanya beraksi 12 kali dalam semua pertandingan selepas kembali ke Turin namun disebabkan kecederaan yang dialami telah membataskan penampilannya bersama kelab pada musim 2022-2023 dan Pogba diturunkan dua kali pada musim lalu sebelum disingkirkan kerana positif doping.
Pogba masih mempunyai kontrak di Juventus, yang dijadualkan tamat pada musim panas 2026, dan dia teruja untuk kembali menyertai latihan bersama pasukan.
“Saya hanya ingin berada di padang. Pertama sekali, bersama Juventus. Saya mahu berlatih dengan rakan sepasukan, sukar untuk bersendirian.
“Fokus utama saya adalah untuk kembali berlatih, cergas dan berada di padang melakukan apa yang saya cintai,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










