WARSAW: Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ketiganya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas membantu Portugal mengekalkan rekod bersih dengan kemenangan 3-1 ke atas Poland pagi ini.
Bernardo Silva dan Ronaldo masing-masing menjaringkan gol untuk meletakkan Portugal 2-0 dalam babak awal, namun Poland kembali bangkit merapatkan jurang menerusi Piotr Zielinski pada minit ke-77 sebelum jaringan sendiri tuan rumah, Jan Bednarek pada minit ke-88 memuktamadkan kemenangan Portugal sehingga wisel penamat.
Portugal berada di depan seawal minit ke-26 selepas Ruben Neves melorong bola kepada Bruno Fernandes yang kemudiannya pantas menolaknya ke arah Silva yang melakukan penyudah yang baik dengan sepakan voli ke gawang gol lawan.
Ketika Poland bangkit dengan serangan balas, Portugal dihadiahkan gol kedua tidak sampai 10 minit meraikan jaringan pertama apabila Ronaldo bijak menyudahkan peluang selepas bola rembatan Rafael Leao keluar dari kawasan bahaya lawan.
Jaringan itu merupakan yang ke-133 peribadinya di arena antarabangsa dan yang ketiga dalam saingan liga tersebut selepas turut menyumbat gol ketika menewaskan Croatia dan Scotland sebelum ini.
Portugal akan sekali lagi berdepan Scotland di Glasgow Selasa ini manakala Poland akan menunggu kedatangan Croatia. – AFP/UTUSAN
KEPUTUSAN
Croatia 2 – 1 Scotland
Poland 1 – 3 Portugal
Sepanyol 1 – 0 Denmark
Serbia 2 – 0 Switzerland
Lithuania 1 – 2 Kosovo
Cyprus 0 – 3 Romania
Bulgaria 0 – 0 Luxembourg
Belarus 0 – 0 Ireland Utara










