PADA Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) bertemakan Peralihan Tenaga Untuk Kesejahteraan Masa Depan Negara yang berlangsung pada 25 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyingkap kembali pandangan pemikir Algeria, Allahyarham Malek Bennabi, mengenai kepentingan idea sebagai tunjang kebangkitan sesebuah negara dan tamadun.
Dalam bukunya, The Question of Culture, Malek menegaskan, organisasi masyarakat, kehidupan dan pergerakannya, malah kemerosotan dan stagnasinya, semuanya mempunyai hubungan fungsional dengan sistem idea yang wujud dalam masyarakat tersebut. Jika sistem itu berubah dengan cara apa sekali pun, semua ciri sosial lain akan turut berubah dan menyesuaikan diri ke arah yang sama.
Menurut Malek, perubahan dalam bidang kebendaan hanya akan berlaku apabila terdapat perubahan dalam wilayah idea. Maka, kemajuan sesebuah negara atau tamadun bergantung kepada kekayaan idea yang dipegang oleh masyarakatnya. Peradaban tidak akan berkembang sekiranya dilanda kemiskinan idea.
Dalam konteks ini, Perdana Menteri memuji inisiatif FIM yang menyediakan platform untuk intelektual dan pemikir tempatan serta antarabangsa melontarkan pandangan yang menyeberangi sempadan pemikiran konvensional. Perdana Menteri menekankan beliau tidak percaya kepimpinan negara mempunyai semua jawapan terhadap permasalahan negara.
Sebaliknya, Perdana Menteri mengalu-alukan cabaran dan kritikan dari kalangan sarjana dan intelektual untuk menilai keberkesanan dasar kerajaan, sambil menegaskan isu-isu seperti digitalisasi, kecerdasan buatan (AI), jati diri bangsa dan pendidikan perlu dibincangkan secara terbuka.
Bagi Perdana Menteri, wacana-wacana ilmiah seperti ini penting untuk mencabar status quo dan memastikan dasar negara terus relevan dalam arus perubahan global. Dalam sesi tersebut, beliau sendiri memperkenalkan idea-idea berkaitan isu-isu nasional seperti peralihan tenaga, pendidikan, ekonomi dan cabaran geopolitik yang dihadapi negara.
Antara isu utama yang disentuh Perdana Menteri adalah keperluan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak mengorbankan keadilan sosial. Ini termasuk konsep gaji progresif sebagai satu mekanisme untuk meningkatkan gaji secara berperingkat, terutama bagi pekerja berkemahiran seperti lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Perdana Menteri juga banyak membincangkan tentang keperluan untuk mengubah dasar subsidi yang hanya menguntungkan golongan kaya. Beliau menegaskan subsidi perlu disasarkan dengan lebih tepat agar bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan tidak membebankan kewangan negara dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata, tidak munasabah untuk orang paling kaya pun diberi subsidi. Ujar beliau, tidak ada sebab keluarga yang kaya-raya yang boleh membayar ratusan ribu di universiti swasta tidak boleh membayar puluhan ribu di universiti awam. Ini termasuk juga bagaimana orang yang kaya-raya duduk wad kelas pertama di hospital kerajaan dengan bayaran yang minimal.
Untuk itu, beliau memberi notis awal mengenai perkara ini, iaitu bahawa orang yang kaya-raya tidak boleh berterusan mengharap kepada subsidi. Jika keadaan ini berterusan, tidak ada negara yang mampu menampung pemberian subsidi berlebihan begini, apa lagi bila kadar percukaian Malaysia adalah antara yang paling rendah di Asia.
Beliau yakin perkara begini tidak akan menimbulkan banyak kontroversi kerana sebelum ini pun bila kadar elektrik dibuat penyasaran, 85 peratus rakyat tidak terkesan kenaikan kadarnya tetapi hanya 15 peratus tertinggi yang terkesan, hanya reaksi timbul dari kalangan tokoh-tokoh politik, yang menyebabkan timbul pertanyaan mereka ini mewakili siapa.
Perdana Menteri turut memperingatkan tentang risiko sindrom kebergantungan yang boleh tercetus apabila bantuan dan subsidi disalahgunakan. Beliau merujuk kepada pandangan Dr. Samir Amin, seorang ahli ekonomi terkemuka, yang menyatakan bahawa sesetengah penguasa menggunapakai bantuan dan subsidi sebagai alat untuk memastikan masyarakat kekal bergantung kepada kelompok elit penguasa.
Dalam usaha memperkasa masyarakat dan mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan, Perdana Menteri menekankan dasar-dasar ekonomi Malaysia Madani perlu menekankan pemerkasaan rakyat tanpa memupuk sikap bergantung kepada subsidi semata-mata.
Seiring dengan tema forum, Perdana Menteri juga menggariskan keperluan Malaysia untuk beralih daripada pergantungan terhadap sumber tenaga tradisional kepada penggunaan tenaga lestari dan hijau. Beliau memuji Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) atas inisiatif dalam pembangunan projek tenaga solar di Kenyir, Terengganu serta usaha untuk mengeksport tenaga hijau melalui projek kabel bawah laut yang menghubungkan pantai timur dengan selatan Semenanjung Malaysia.
Beliau menekankan bahawa langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan pusat terhadap pembangunan negeri-negeri pembangkang, seperti Terengganu dan Kelantan dengan menekankan kepentingan ekonomi tanpa mengira latar belakang politik.
PEMIKIRAN BAHARU
Perdana Menteri menutup ucapannya dengan menyeru semua pihak agar tidak terikat dengan pemikiran lama dan berani meneroka disiplin-disiplin baharu, termasuk dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI). Menurut beliau, Malaysia perlu bergerak lebih pantas dalam mempersiapkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi bagi menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
Beliau menegaskan bahawa pemimpin, penjawat awam dan intelektual perlu terbuka terhadap pandangan baharu dan berani mencuba idea-idea yang di luar kebiasaan. Dalam pada itu, beliau berharap agar idea-idea yang dilontarkan dalam wacana intelektual seperti FIM dapat mencetuskan penambahbaikan kepada dasar-dasar kerajaan dan menyumbang kepada kejayaan visi Malaysia Madani.
Melalui ucapan ini dapat disimpulkan visi Perdana Menteri dalam Malaysia Madani bukan hanya tentang pencapaian ekonomi, tetapi juga tentang pemugaran nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan sosial. Melalui pemugaran idea, Malaysia pasti mampu mencapai kemajuan yang lebih menyeluruh, yang tidak hanya berasaskan kepentingan material, tetapi juga menjunjung tinggi nilai-nilai intelektual, kemanusiaan dan kelestarian.
Bagi membangunkan negara melalui kerangka Malaysia Madani ini, pemikiran strategik dan pendekatan melampaui parti dan kumpukan (rise above) perlu menjadi resepi utamanya. Khususnya bagi menggembleng kepakaran para ilmuwan, Majlis Profesor Negara (MPN) tersedia menjadi wadahnya, terutama dengan dukungan jelas mereka kepada Kerajaan Madani yang amat jelas dalam kalangan kepimpinan utamanya.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Raduan Che Rose ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN)










