PETALING JAYA: Harimau Malaya akan menentang Auckland FC hari ini dengan pengendali skuad negara bakal menguji strategi untuk berdepan skuad New Zealand pada Isnin ini.
Pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente juga pastinya mahu menyelesaikan perlawanan itu dengan noktah kemenangan bagi mengekalkan rekod bersihnya selaku pengendali Harimau Malaya.
Skuad negara ke New Zealand dengan misi melakar dua kemenangan bagi membolehkan Malaysia mengutip sebanyak mungkin mata untuk menaikkan ranking FIFA menjelang undian kelayakan Piala Asia.
Selain memberikan minit permainan kepada pemain baharu, Pau Marti pastinya mahu menjadikan perlawanan itu sebagai titik mula buatnya menambat hati pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pau Marti juga menuntut komitmen penuh daripada anak buahnya sekaligus membuka ruang untuk mendapatkan gambaran lebih tepat siapa yang lebih layak untuk membarisi kesebelasan utama pada pertemuan dengan New Zealand, Isnin ini.
“Saya fikir kelab itu cukup kuat dan ia akan membantu pemain untuk dapatkan minit permainan. Walaupun hanya dapat satu perlawanan rasmi, aksi dengan kelab adalah sesuatu yang bagus untuk saya membuat penilaian.
“Barisan kejurulatihan pastinya gembira dengan peluang ini (beraksi dengan kelab) dan kami akan memanfaatkannya sebaik mungkin untuk menguji strategi dan mencari keserasian antara pemain
“Kita juga berpeluang menilai kemampuan pemain terutama tonggak baharu dalam aksi ini apabila bukan semua dapat diturunkan dalam satu-satu perlawanan,” katanya.
Jurulatih dari Sepanyol itu mempunyai tempoh sekurang-kurangnya dua bulan saja lagi untuk membuktikan kualitinya sekali gus memberikan sebab kukuh kepada FAM bahawa beliau adalah calon sesuai untuk mengisi jawatan tetap sebagai pengendali Harimau Malaya.
Walaupun mengakui bersedia untuk berbelanja besar bagi mendapatkan jurulatih baharu, FAM dilihat mahu bersikap adil apabila memberikan peluang kepada Vicente sehingga hujung tahun ini bagi membuktikan kemampuan sebenarnya. – UTUSAN










