Martinez masih tagih sentuhan Ronaldo  

Martinez masih tagih sentuhan Ronaldo  

CRISTIANO Ronaldo masih menjadi tonggak utama Portugal kelayakan di Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Pengurus Portugal, Roberto Martinez tetap akan menurunkan Cristiano Ronaldo dalam aksi menentang Scotland dalam kempen Liga Negara-Negara awal pagi esok, biarpun dikritik kerana terlalu bergantung kepada bintang veteran itu.

Ronaldo dikeluarkan pada minit ke-63 ketika Portugal menang 3-1 ke atas Poland, kelmarin tetapi Martinez berkata, keputusan itu dibuat atas faktor strategi dan bukannya kerana penyerang berusia 39 tahun itu kepenatan atau berdepan kecederaan.

Dalam aksi itu, Ronaldo membuktikan kewibawaannya dengan meledak gol kedua untuk Portugal sejurus selepas jaringan pembukaan Bernardo Silva.

Piotr Zielinski merapatkan jurang tuan rumah tetapi gol sendiri Jan Bednarek memastikan rekod 100 peratus Portugal sekali gus satu-satunya pasukan yang menang semua tiga perlawanan di Liga A.

Ronaldo digantikan oleh Diogo Jota yang turut menyinar tetapi Martinez menegaskan kaptennya itu akan disenaraikan ketika menentang Scotland dan akan menjadi harapan utama pasukan.

“Ia sebahagian daripada pengurusan pemain apabila anda berdepan dua perlawanan dalam tempoh 72 jam. Diogo Jota masuk dan cemerlang, Cristiano pula sempurna seperti biasa dan memainkan peranan penting.

“Saya juga gembira dengan beberapa pemain yang memamerkan prestasi cemerlang apabila diberikan peluang beraksi, mereka seperti sudah memiliki beberapa kap antarabangsa.

“Cabarannya ialah dua perlawanan di tempat lawan. 72 jam tetapi yang pertama berjaya kami lepasi dengan cemerlang. Pemain menunjukkan komitmen mereka ketika Latihan,” kata Martinez.

Scotland pula berdepan tugas berat untuk bangkit selepas tewas semua tiga perlawanan pertama peringkat kumpulan apabila kalah tipis di tangan Poland di tempat sendiri, Portugal dan Croatia di tempat lawan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN