Martin tekad buru kejuaraan MotoGP musim ini 

Martin tekad buru kejuaraan MotoGP musim ini 

JORGE MARTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin menggambarkan dia mengalami perubahan besar dari segi psikologi untuk menjadi lebih bersemangat sejak kehilangan kejuaraan MotoGP. 

Martin, 26, mempunyai kelebihan 10 mata berada di kedudukan teratas carta meninggalkan dua pelumba Ducati iaitu Francesco Bagnaia di tempat kedua dengan 382 mata dan Enea Bastianini (313) menjelang Grand Prix Australia hujung minggu ini.

Martin berada dalam keadaan terdesak untuk tidak kehilangan gelaran juara MotoGP seperti yang berlaku pada musim lalu pada perlumbaan terakhir.

“Pada Februari selepas rehat, apabila kami bermula semula, saya tidak mahu kembali ke MotoGP. Saya berasa ketakutan. Saya tidak tahu sama ada saya boleh menunggang dengan laju seperti sebelum ini atau tidak.

“Kemudian, saya menaiki motosikal dan saya memahami bahawa ia sama. Saya kembali laju dan saya dapat lawan semula. Sasaran saya sekarang adalah untuk berjuang memberikan 100 peratus,” katanya.

Saingan MotoGP berbaki empat perlumbaan musim ini dengan Martin dan Bagnaia masing-masing sering melakukan kesilapan namun pelumba dari Sepanyol itu menegaskan dia adalah yang terbaik.

“Saya lebih kuat. Saya lebih baik daripada semua aspek. Saya tidak merasakan bahawa saya lebih laju, mungkin tahun lalu saya laju, saya mempunyai lebih banyak kelajuan berbanding yang lain

“Pada ketika ini, kami hampir sama dengan Bagnaia, Enea dan Marc (Marquez). Kami serupa namun saya lebih kuat kerana ada titik di mana saya lebih baik,” katanya.

Martin mengakui dia turut memasang impian untuk menamatkan saingan musim ini sebagai juara keseluruhan walaupun mengetahui cabaran yang perlu dihadapinya.

“Ini merupakan impian besar dan amat bermakna. Saya tahu saya boleh menang. Ia 50-50. Jika gagal, saya akan berusaha lagi pada musim hadapan. Saya akan berjuang untuk sebarang kemungkinan bagi membolehkan saya mendapat No. 1,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN