LTdL: Pelumba basikal bukit tidak sesuai 

LTdL: Pelumba basikal bukit tidak sesuai 

ANUAR MANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba basikal bukit tidak sesuai menyertai disiplin jalan raya seperti perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) berikutan cabaran dan keperluan teknikal yang berbeza.

Jaguh lebuh raya berbasikal negara, Anuar Manan berkata, walaupun pelumba basikal bukit memiliki ketahanan dan kemahiran mengendalikan basikal dalam keadaan mencabar, aspek fizikal dan taktikal kejohanan seperti LTdL yang mementingkan jarak jauh serta kelajuan berterusan, memerlukan pelumba jalan raya yang terlatih dan berpengalaman.

“LTdL adalah perlumbaan maraton yang menuntut kecekapan dalam mengekalkan kelajuan tinggi untuk jarak yang jauh, berbeza dengan perlumbaan basikal bukit yang lebih tertumpu kepada larian pendek dengan halangan teknikal. 

“Adalah sukar bagi pelumba basikal bukit untuk bersaing dengan pelumba jalan raya yang lebih terserlah dalam aspek ini,” katanya.

Beliau mengulas percaturan menaruhkan pelumba basikal bukit pada Le Tour de Langkawi 2024 yang disifatkan Pengarah Sukan MPC Sayuti Zahit membuahkan hasil yang positif untuk Malaysia Pro Cycling (MPC).

Biarpun gagal mencapai sasaran untuk menjadi pasukan Asia terbaik pada perlumbaan berprestij Asia terbabit, Sayuti berkata, pencapaian menjadi No. 3 terbaik Asia sudah menunjukkan satu peningkatan buat pasukan terbabit.

Dalam pada itu, Anuar  yang pernah meraih gelaran raja pecut hatrik Jelajah Malaysia pada 2007, 2008 dan 2009  juga menekankan perlunya perhatian diberikan kepada pelumba jalan raya di peringkat akar umbi, terutama dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Bakat-bakat muda di peringkat akar umbi mempunyai peluang yang besar, tetapi mereka memerlukan lebih banyak sokongan dari segi pendedahan kepada kejohanan tempatan dan antarabangsa. 

“Kita mempunyai ramai pelumba yang berpotensi, cuma perlukan platform yang betul untuk mengetengahkan bakat mereka,” ujarnya.

Anuar turut mencadangkan agar lebih banyak program pembangunan sukan berbasikal diadakan di peringkat akar umbi bagi memberi peluang kepada bakat baharu menunjukkan keupayaan mereka dalam perlumbaan seperti LTdL dan lain-lain kejohanan besar.

“Untuk LTDL kali ini, saya nampak beberapa muka baharu dalam kejohanan ini, namun apa yang perlu dibuat oleh Majlis Sukan Negara(MSN) adalah dengan memperbanyakkan lagi menyertai kejohanan-kejohanan luar.

“Saya percaya dengan pendedahan yang banyak, kita mampu mensasarkan podium yang terbaik untuk pelumba negara kita,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN