ALOR SETAR: “Sepanjang 13 tahun bergelar pemain bola sepak profesional, saya tak pernah berdepan situasi gaji tidak dibayar sebegini rupa”.
Demikian pengakuan tonggak pertahanan import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Cleylton Santos mengenai isu tunggakan gaji selama tujuh bulan yang melanda pasukan itu ketika ini.
Menurut pemain berasal dari Brazil itu, keadaan ketika ini cukup sukar dengan para pemain saling membantu ibarat sebuah keluarga.
“Saya fikir semua orang tahu tentang masalah yang kami hadapi ketika ini. Tetapi kami masih bekerja keras dan cuba melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dengan turun berlatih.
“Situasi sekarang sangat sukar. Sudah tentu kami tahu bahawa wang bukan segalanya dalam bola sepak tetapi wang juga sebahagian kerjaya ini kerana kami memerlukannya untuk kelangsungan hidup serta menyara keluarga.
“Setelah tidak menerima gaji untuk tempoh yang panjang, kami sering mengambil keputusan secara berkumpulan dan saling bersembang sesama pemain dan jurulatih. Bukan mudah kerana kami sering terfikirkan mengenai situasi ini sambil berharap agar segalanya selesai secepat mungkin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Selain pernah beraksi di Liga Brazil, Santos juga pernah berkelana ke Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum bermain bersama KDA FC musim ini, yang merupakan kelab sulungnya di Malaysia.
“Kami datang berlatih, bersenam dan melakukan sesuatu untuk melupakan masalah ini kerana situasi kini sangat sukar. Jika memilih untuk berada di rumah sepanjang masa, anda akan terus memikirkan masalah ini,” katanya. – UTUSAN










