PETALING JAYA: Siapa pun yang bakal mengisi jawatan jurulatih perseorangan lelaki dan wanita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Jumaat ini, individu itu perlulah calon yang memiliki kredibiliti dan bukan sekadar tangkap muat.
Bekas pemain perseorangan No. 1 dunia, Roslin Hashim berkata, jika benar antara dua calon sama ada Kenneth Jonassen atau Mulyo Handoyo yang akan menggalas tanggungjawab berat tersebut maka Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah memilih calon yang sesuai.
“Kita kena betul-betul pilih yang sesuai untuk melantik jurulatih di sektor perseorangan lelaki dan wanita, kena ada pengalaman yang banyak kerana kedudukan itu satu jawatan utama, jadi, jangan main tangkap muat.
“Sekiranya benar calon yang dilantik antara dua nama yang disebut-sebut media, pandangan saya mereka sememangnya sudah memiliki rekod kerja yang baik.
“Kedua-duanya telah terbukti berjaya melahirkan ramai pemain berbakat, dua calon itu memang terbaik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin, Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky mengesahkan bahawa BAM akan mengumumkan pelantikan jurulatih yang bakal mengetuai sektor perseorangan, Jumaat ini, jika rundingan yang sedang dilaksanakan berjalan lancar.
Mulyo jurulatih kelahiran Indonesia pernah membimbing Taufik Hidayat sewaktu pemain itu memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 2004 dan beliau juga pernah melatih tiga pemain perseorangan India, K. Srikanth, Lakshya Sen serta HS Prannoy pada 2017.
Jonassen pula merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Denmark sejak 11 tahun lalu dan beliau dijangka melepaskan jawatannya itu penghujung tahun ini. – UTUSAN











