Harimau Malaya lebih segar gabungan senior, junior

Harimau Malaya lebih segar gabungan senior, junior

PEMAIN Harimau Malaya berlatih di Auckland, New Zealand, semalam sebagai persediaan perlawanan Tier 1 menentang sebuah kelab tempatan Jumaat ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba menyifatkan kehadiran pemain muda akan menjadikan skuad Harimau Malaya lebih bertenaga dan segar sekali gus mampu mengejutkan New Zealand pada perlawanan persahabatan pada 14 Oktober ini.

Katanya, dia meletakkan sasaran peribadi untuk mencatat kemenangan pada pertemuan menentang pasukan yang berada di ranking 94 dunia itu, berdasarkan kepada barisan pemain yang dipanggil pada kali ini.

“Jadinya, ini adalah satu perkara yang baik menerusi gabungan pemain dan senior. Ia juga dapat membentuk pasukan lebih dinamik berdasarkan kepada pemain baru masuk dalam skuad Harimau Malaya.

“Sudah tentu saya mahu menang dan perlawanan persahabatan ini cukup penting dalam bentuk keserasian dalam pasukan selain persiapan untuk kejohanan akan datang,” katanya.

Terdahulu, pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente telah memanggil pemain muda terdiri daripada penjaga gol Selangor, Azim Al Amin Kamaruddin serta pemain muda dari skuad B-19 kebangsaan yang baharu kembali dari Kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Tajikistan iaitu penjaga gol, Haziq Aiman Mohd Esa (JDT II) dan Haykal Danish Mohd Haizon (Selangor B-23).

Kali terakhir Harimau Malaya berdepan New Zealand ialah pada 2006 di bawah ketua jurulatih, Norizan Bakar di mana ketika itu Malaysia tewas 1-0 di Christchurch pada 19 Februari dan 2-1 di Auckland empat hari kemudian dalam perlawanan persahabatan. 

Sementara itu, Syamer berkata, ketiadaan kapten pasukan Dion Cools dalam menentang New Zealand bakal membuka ruang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan mereka bagi mengetuai skuad negara. 

“(Ketiadaan Cools), tidak menjadi masalah sebab kita ada ramai pemain yang boleh mengisi peranannya dan ia beri peluang kepada pemain lain untuk menonjol dan memberi satu penambahan dalam pasukan,” ujarnya.

Skuad Harimau Malaya terlebih dahulu akan menghadapi satu Perlawanan Antarabangsa Tier 2 menentang sebuah kelab utama pada Jumaat ini sebagai perlawanan pemanas badan sebelum aksi bertemu New Zealand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN