Hafizuddin sapu tiga emas angkat berat    

Hafizuddin sapu tiga emas angkat berat    

PENAMPILAN pertama Muhammad Hafizuddin Roslin di pentas antarabangsa membuahkan hasil apabila berjaya merangkul tiga pingat emas pada Kejohanan Egat King’s Cup (Junior) 2024 di Phayao, Thailand, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penampilan kali pertama Muhammad Hafizuddin Roslin di pentas antarabangsa mencetuskan sensasi apabila merangkul tiga pingat emas dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram (kg) pada Kejohanan Egat King’s Cup (Junior) 2024 di Phayao, Thailand, semalam.

Lebih membanggakan, Muhammad Hafizuddin, 20, juga turut memecahkan rekod kebangsaan miliknya dengan angkatan keseluruhan 334kg, tidak sampai tiga bulan selepas melakukannya di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak.

Pada Sukma Sarawak baru-baru ini, anak Perlis itu mencetuskan fenomena luar biasa selepas memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81kg dengan angkatan keseluruhan 332kg.

Angkatan seluruhan 334kg itu menyaksikan Muhammad Hafizuddin mencerahkan prospek pingat dalam Sukan SEA, di Thailand tahun depan selain Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Dia melakukan 152kg dalam snatch manakala 182kg untuk clean and jerk dengan keseluruhan angkatan 334kg.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Hafizuddin berkata, selepas Sukma Sarawak, dia giat menjalani latihan bagi mewakili Malaysia buat kali pertama dan memecah rekod kebangsaan.

Katanya, kejayaan itu mendorongnya lebih bersemangat bagi melakar kejayaan pada Sukan SEA dan Komanwel selepas ini.

“Alhamdulillah, pertama kali beraksi di pentas antarabangsa, saya berjaya merangkul pingat sekali gus turut memecahkan rekod kebangsaan  dalam tempoh tidak sampai tiga bulan,” katanya.

Jumlah keseluruhan angkatan Muhammad Hafizuddin mengatasi rekod Sukan Komanwel 2022 atlet England, Chris Murray yang melakukan 325kg.

Selain itu, Muhammad Hafizuddin turut berjaya mengatasi rekod junior Komanwel secara tidak rasmi yang dipegang oleh atlet Kanada, Alex Bellemarre dengan jumlah angkatan 330 kilogram.

Dia semakin menghampiri rekod Komanwel dengan dipisahkan empat kilogram sahaja untuk menyamai 338kg yang dilakukan atlet India.

Jurulatihnya, Mohd. Hanie Musa berkata, beliau bangga dengan kejayaan anak didiknya itu yang pertama kali mewakili Malaysia terus berjaya sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan.

Katanya, rekod angkatan tersebut menyaksikan Muhammad Hafizuddin mempunyai peluang cerah merangkul pingat dalam Sukan SEA 2025 dan Sukan Komanwel 2026.

“Rekod berkenaan menyaksikan Muhammad Hafizuddin berada dalam kedudukan tiga terbaik di peringkat Sukan SEA dan Komanwel. Insya-Allah peluang merangkul pingat emas di Sukan SEA agak cerah.

“Saya juga yakin Muhammad Hafizuddin mempunyai potensi untuk terus memecahkan rekod demi rekod selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN