KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal mengakui isu kecergasan dan kurang pendedahan menjadi faktor utama prestasi hambar yang dipamerkan Young Tigers pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SJOC) 2024 yang berakhir minggu lalu.
Menurutnya, malah pihaknya perlu berbelanja besar bagi menghantar skuad remaja dan senior mengadakan aksi persahabatan dan pendedahan di luar negara.
“Perbelanjaan RM400,000 hingga RM500,000 merupakan satu isu besar, kita hadapi kekangan kewangan untuk menghantar skuad negara bermain di luar, kos itu hanya melibatkan perlawanan dengan satu pasukan sahaja. Sebab itu kita berusaha menganjurkan banyak kejohanan tempatan ia lebih jimat, macam SOJC kita memang sengaja undang pasukan-pasukan yang kuat untuk menjadi lawan pasukan negara.
“Kalau kita pilih pasukan lemah dan tiap-tiap tahun kita juara tidak kena juga, jadi, apabila skuad negara berdepan lawan yang kuat, mereka akan tahu kelemahan masing-masing,” katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman Piala Mirnawan 2024 di sini, semalam.
Subahan menegaskan, pihaknya amat menekankan kualiti dalam setiap penganjuran kejohanan hoki di negara ini dan sama ada Malaysia kalah atau menang ia bukan satu persoalan.
“Saya akui banyak kelemahan perlu diperbaiki segera skuad remaja, bagi saya ia satu hikmah yang bagus dan saya harap kita dapat memperbaiki kelemahan ketara iaitu tahap kecergasan para pemain,” ujarnya.
Walau apa juga keputusan yang dicatat Young Tigers, beliau memberitahu, Young Tigers tetap perlu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu memastikan mereka layak ke Piala Remaja Dunia, tahun depan.
Jelasnya, para pemain perlu memastikan mereka berada dalam kelompok empat terbaik daripada tujuh slot yang ditawarkan untuk ke Piala Remaja Dunia di India.
Sementara itu, mengulas Piala Mirnawan yang akan diadakan pada 3-9 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Subahan berkata, kejohanan bawah 17 tahun untuk lelaki dan perempuan itu turut disertai 10 pasukan antarabangsa. – UTUSAN










