KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan berbesar hati mahu membantu dari segi rawatan pemulihan kepada pemain beregu wanita profesional, Ng Qi Xuan berikutan kecederaan lutut yang dialaminya pada kejohanan Malaysia Super 100.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, walaupun Qi Xuan bermain profesional, namun beliau pemain Malaysia dan sebelum ini bernaung di bawah badan induk berkenaan.
“Kami sudah mengadakan perbincangan dalaman mengenai cara kami dapat membantunya. Kami sedia membantu jika beliau (Qi Xuan) mahu menjalani rawatan pemulihan dengan melakukannya di ABM (Akademi Badminton Malaysia).
“Saya sudah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dan belia juga menawarkan sebanyak bantuan yang boleh,” kata Kenny kepada pemberita selepas Malaysia Super 100, di Stadium Juara, kelmarin.
Kenny turut menjelaskan status pemain berusia 25 tahun itu masih belum diketahui untuk menjalani pembedahan dan memaklumkan BAM akan melawat Qi Xuan dalam masa terdekat.
Sabtu lalu, Qi Xuan mengalami kecederaan lutut ketika melakukan smash sekali gus menyebabkan beliau bersama Yap Rui Chen terpaksa menarik diri ketika mereka berbaki satu mata sahaja untuk meraih kemenangan.
Qi Xuan-Rui Chen ketika itu sedang mendahului 22-20, 20-18 pada set kedua ke atas juara Malaysia Super 100 2024, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee pada perlawanan separuh akhir. – UTUSAN










